Rabu, 17 Oktober 2018

Apa sudah jadi dengan janji PRU14? – Najib soal Pakatan Harapan

THE MALAYSIAN TIMES
 



KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyoal kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai janji-janji yang dibuat pakatan itu menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pada pendapat saya, janji-janji yang di beri dalam ceramah-ceramah, sidang akhbar ataupun kenyataan akhbar mereka patut ditepati juga.

“Jangan mengambil kesempatan untuk menipu rakyat yang tidak membaca buku manifesto yang begitu tebal itu.

“Jika anda berani menabur janji di depan pengundi bila berceramah dengan penuh yakin, maka tepatilah janji itu dengan penuh yakin juga,” katanya.

Tambah beliau: “Apa sudah jadi dengan dua janji sebelum PRU14 yang dilaungkan ini untuk mempengaruhi undi anak muda dan pengundi Sabah dan Sarawak?

“Apakah rancangan kerajaan PH untuk menjana satu juta pekerjaan dengan gaji minima RM2,500? Yang diluluskan selepas PRU14 hanya RM1,050 sebulan.

“Apa dah jadi dengan janji untuk membayar balik 50% dari hasil cukai-cukai yang dikutip dari Sabah dan Sarawak?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Najib berkata semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau banyak beri tumpuan kepada Sabah dan Sarawak dari segi projek pembangunan, hak-hak dan peruntukan kerana pendiriannya ialah mereka tidak diberi layanan yang adil sebelum itu.

“Sabah dan Sarawak sentiasa dekat dengan hati saya.

“Seperti juga dengan undi pemuda, sokongan dari Sabah dan Sarawak adalah amat penting untuk kemenangan PH pada PRU14. Tanpa kemenangan di dua tempat itu, PH tidak mungkin akan menang.

“Sepatutnya, sokongan mereka ini dibalas dengan memenuhi janji-janji khusus untuk Sabah dan Sarawak.

“Pemimpin yang memahat janji untuk memulangkan 50% hasil cukai ini sudah menjadi menteri kewangan dan kini dia ada kuasa untuk memenuhi janjinya. Rakyat Sabah dan Sarawak patut tuntut dari dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.