Jumaat, 21 September 2018

PAS terbuka untuk siapa sahaja – Mohd Amar

THE MALAYSIAN TIMES
 


KOTA BHARU: Pintu PAS sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertainya namun ia tidak akan sekali-kali mempelawa mereka, kata Naib Presiden parti Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata dasar keterbukaan PAS itu dapat dilihat menerusi kesediaan parti membenarkan pemimpin parti lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berceramah di atas pentas mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini hari ini sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang masing-masing mengumumkan keluar UMNO pada Selasa dan Rabu.

Mohd Amar turut meramalkan lebih ramai pemimpin dan anggota UMNO akan keluar parti kerana tidak biasa menjadi pembangkang.

“UMNO sekarang seolah-olah melalui proses menuju kehancuran,” katanya.

“Macam PAS sudah biasa menjadi pembangkang dan sudah biasa susah. Orang yang tak biasa susah sukarlah menghadapi keadaan seperti ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kerjasama antara PAS dan UMNO yang dibahaskan pada muktamar parti itu minggu lepas, Mohd Amar berkata setakat ini tiada tindakan kukuh yang diambil oleh mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama secara rasmi.

“Kita cuma duduk minum bersama sahaja… mengorat pun belum apatah lagi nak bertunang.

“Kerjasama dengan UMNO ini cuma dalam perkara ‘ad hoc’ sahaja seperti membantu golongan dalam kesusahan. Apabila selesai tugas, masing-masing akan kembali kepada parti masing-masing,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.