Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil Port Dickson, melawan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, 13 Oktober depan.
“Setakat ini kita ada tiga bakal calon dan ini kita akan bincang secara teliti dan akan mengumumkan calon kemudian,” kata presidennya Mohd Hashim Saaludin.
Dalam kenyataannya hari ini, Hashim berkata, setelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat keadaan ekonomi dan politik adalah tidak stabil.
“Sebab-sebab PRM memutus supaya menyertai pilihanraya kecil ini adalah untuk membangkitkan isu rakyat dan mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan supaya menunaikan janji-janji dalam manifesto,” katanya.
Selain PRM, setakat ini hanya bekas setiausaha agung MIC Datuk G Kumaar Aamaan yang menyatakan hasratnya masuk gelanggang.
BN belum mengumumkan sebarang kata putus.
Dalam pilihan raya umum lalu, PRM mencatat prestasi buruk apabila 18 calonnya kalah teruk hingga hilang wang pertaruhan.
Pilihan raya kecil itu diadakan selepas menyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi membolehkan Anwar bertanding untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.