Ahad, 23 September 2018

Kaji semula kaedah pemilihan PKR guna e-voting

Abdul Yunus Jamhari
Abdul Yunus Jamhari
 
 
KUALA KURAU - PKR Perak menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat(JPP) parti itu mengkaji semula kaedah pemilihan parti menggunakan sistem e-voting bagi mengelakkan kepincangan dan kelancaran proses demokrasi itu pada masa hadapan.

Setiausahanya, Abdul Yunus Jamhari berkata, meskipun ahli PKR Perak akur dengan keputusan ditetapkan JPP berhubung penangguhan proses pemilihan PKR di negeri itu malam tadi, pihaknya masih kesal dengan keputusan mengejut itu.

Menurutnya, proses pemilihan PKR sudah dirancang menggunakan kaedah sistem e-voting sejak beberapa bulan lalu dan sepatutnya JPP sudah bersedia lama dan tiada masalah untuk mengendalikannya.

"Saya kesal dengan keputusan penangguhan mengejut pemilihan PKR Perak diumumkan malam tadi, sedangkan hampir kesemua 24 cabang parti di negeri dimaklumkan sudah bersedia 100 peratus untuk melaksanakannya.

"JPP perlu ingat segala kos pengurusan pemilihan parti di peringkat cabang adalah dibiayai sepenuhnya kepimpinan cabang sebelum ini dan keputusan ini pastinya memberi kesan kewangan kepada cabang dan calon-calon yang bakal bertanding.

"Sekiranya masalah keributan dan kekecohan berlaku pada pemilihan PKR di Pulau Pinang dan Kedah semalam diambil kira, JPP wajar mengkaji semula kaedah pemilihan parti menggunakan sistem e-voting,"katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, sekiranya masalah kepincangan sistem e-voting yang digunakan ketika ini diambil kira, pihaknya mencadangkan lebih baik kaedah pemilihan parti berpatah balik menggunakan sistem lama iaitu sistem buang undi secara manual.

Menurutnya, selain berdepan masalah 'kehilangan' nama ahli dan sebagainya, kaedah sistem e-voting sebenarnya memberi masalah kepada ahli PKR yang berusia untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Saya rasa ramai anggota PKR berstatus warga emas sukar untuk membuang undi menggunakan sistem e voting kerana penggunaan tab akan menyusahkan mereka terutama bagi mereka mempunyai masalah penglihatan.

"Sebenarnya keputusan penangguhan pemilihan PKR dibuat JPP boleh memberi kesan persepsi tidak baik untuk parti kerana PKR kini berada dalam blok kerajaan dan bukan lagi parti pembangkang.

"Seluruh dunia dan negara akan memberi tumpuan kepada proses pemilihan PKR kali ini dan sebarang kepincangan berlaku boleh memberi kesan kepada tahap kematangan parti untuk menjadi parti peneraju pentadbiran negara kelak,"katanya.

Abdul Yunus yang juga calon Ketua PKR Cabang Parit Buntar turut memaklumkan tiada mana-mana calon atau cabang yang mengemukakan bantahan terhadap keputusan penangguhan pemilihan parti sebagaimana diumumkan JPP malam tadi sehingga kini.

"Perlu diingat setiap cabang PKR akan menanggung sendiri kos pengurusan pemilihan parti dan penangguhan berlaku pada saat akhir pastinya memberi tamparan besar kepada setiap cabang dan ahli dari aspek kewangan,"katanya.

Malam tadi, Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail mengumumkan proses pemilihan PKR di negeri itu yang dijadualkan berlangsung hari ini, dibatalkan dan ditunda kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Menurutnya, pembatalan itu dimaklumkan Pengerusi JPP PKR, Datuk Rashid Din susulan mengambil kira keadaan kekecohan berlaku semasa proses pemilihan parti berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah semalam.

Pemilihan di Perak melibatkan 24 cabang dengan jumlah keahlian layak mengundi seramai 60,324 orang.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.