Ahad, 9 September 2018

Ada lagi PAU? Saya ingat habis kena tapau: Muhyiddin


Ada lagi PAU? Saya ingat habis kena tapau: Muhyiddin
 
 
KUALA LUMPUR - “Ada lagi PAU (Perhimpunan Agung Umno)? Saya fikir dah habis tapau.”

Itu reaksi spontan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya berkenaan PAU yang akan berlangsung tidak lama lagi, cuma dua hari dalam edisi kali ini.

Menurutnya, beliau tidak pernah lagi memikirkan pasal Umno dan tidak peduli dengan apa yang terjadi terhadap parti tersebut.

“Lepas PRU saya tak pernah fikir pasal Umno dah. Apa nak jadi dengan parti itu, bukan hal kita lagi.

“Soal PAU nak sehari ke, 10 hari ke tak ada langsung saya fikir, itu hak dia (Umno),” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian dan Malaysiakini di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, baru-baru ini.

Bagi Ahli Parlimen Pagoh itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu menganggap Umno sudah tidak wujud lagi dan tinggalkannya kerana bukan sahaja kerana mereka kalah tetapi kerana parti tersebut sudah rosak.

Ketika ditanya adakah masih wujud perasaan sayang kepada Umno, beliau menegaskan perasaan itu tidak wujud dan tidak mungkin beliau kembali kepada parti itu.

“Dalam kempen (pilihan raya), saya dah kata tak ada (rasa sayang kepada Umno). Soal balik semula kepada Umno, bodohlah saya (kalau kembali kepada Umno).

“Parti yang tunggang-langgang, masuk longkang, dah hancur. Sepatutnya sudah sampai masa untuk orang Melayu memikirkan bahawa Umno sudah tidak wujud lagi, kita tinggalkan, tak ada maknanya,” ujarnya.

Mengimbas kembali ‘kisahnya’ bersama Umno, Muhyiddin menegaskan beliau sudah memberi amaran awal kepada parti agar berjaga-jaga dan berubah namun beliau pula yang disingkirkan.

“Kita dah nampak awal, saya dah cakap lama masa PAU dulu, (beri) amaran masa ucapan dasar saya. Jaga-jaga, kita boleh kalah tapi dia tak dengar cakap saya.

“Dia fikir dia boleh singkir saya, selesai masalah tapi dia yang tersingkir dan saya hidup balik, tak ada apa-apa,” katanya.

‘Dia’ yang dimaksudkan bekas Timbalan Perdana Menteri ini dipercayai merujuk kepada bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.