Sabtu, 25 Ogos 2018

Syirik adakan peraturan berbeza dari syariat

IZWAN ABDUL HALIM

 
 
KUALA LUMPUR: Orang Islam yang mengadakan undang-undang atau peraturan berlainan dari syariat ditetapkan Allah sebenarnya telah menyamai tindakan sama dilakukan oleh orang Yahudi dan Kristian.
 
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, orang Yahudi dan Kristian walaupun percaya kepada tuhan tapi membuat undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan Allah.
 
Sedangkan menurutnya, orang Islam mengimani dengan pujian bahawa Allah adalah tuhan sekalian alam dengan makna menjadikan, mencipta, mengada dan menguruskan peraturan-peraturan bagi makhluk-Nya.
 
"Kami beribadat kepada Allah Taala, ikhlas kerana Allah Taala. Memperhamba diri kepada Allah Taala, tidak beribadat kepada yang lain daripada Allah. Tidak menyembah yang lain daripada Allah. Tak mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan Allah. Ini beza.
 
"Kami buat ibadat kerana Allah Taala. Tak ada riak, tunjuk-tunjuk ke orang. Tak ada ujub, kagum dengan diri sendiri. Tak ada sum'ah, nak memasyhurkan diri, tidak! Ikhlas kerana Allah Taala," kupasnya dalam Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, semalam.
 
Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan ketika melaksanakan ibadah sedemikian akan diganggu oleh Syaitan, di mana hal tersebut memerlukan tazkiyah bagi membersihkan dan menghindarinya dari menjadi sifat dalam diri.
 
Kerana tegasnya, tujuan orang Islam adalah menghambakan diri kepada Allah dan tidak syirik dengan melaksanakan ibadah mengikut syariat dan bukan dengan cara sendiri.
 
Lanjut beliau, Yahudi dan Kristian juga agama-agama lain ada mereka yang belajar kitab suci di mana menerangkan mengenai kelahiran Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W, tetapi mereka zalim apabila menyembunyikannya.
 
Jelas beliau, para paderi, pendeta dan sami-sami menyembunyikan kebenaran itu dari pengikut mereka yang tidak mengerti maksud sebenar di dalam kitab suci dan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara.
 
"Sudahlah mereka tahu Islam ini betul, mereka rosakkan, punahkan orang Islam. Terdapat kalangan mereka yang berusaha supaya orang Islam meninggalkan agama Islam, jadi murtad.
 
"Setelah orang Islam gagal dimurtadkan, mereka bawa pula ajaran-ajaran supaya orang Islam ini gelincir, gelincut. Tak apalah sembahyang puasa ikut Islam. Dalam bab politik, ekonomi dan bab lain, ikut teori-teori ciptaan manusia.
 
"Tak apalah, kalau sebahagian pun, (asalkan) ikut mereka. Ini masalah yang kita alami. Ataupun Islam juga, (tapi) ubah nama. Islam Liberal, Islam Sosialis, Islam Komunis, Islam Demokrasi, Islam Siyasi, Islam Hadhari.
 
"Bubuh nama untuk selewengkan orang daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini cara mereka buat," terangnya di mana mereka itu juga sering mengaku sebagai anak cucu cicit Nabi-nabi terdahulu mengupas tafsir ayat 135 hingga 141 surah al-Baqarah.
 
Beliau juga mengingatkan agar tidak menyamai perbuatan golongan tersebut yang berbangga dengan keturunan, sedangkan manusia akan dihisab dengan amalannya sendiri dan bukannya dari amalan orang lain. - HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.