Khamis, 30 Ogos 2018

Keselamatan di air, apa perlu anda tahu!

Keselamatan di air, apa perlu anda tahu!
Seseorang yang pandai secara asas atau memiliki kemahiran berenang merupakan satu bonus. -Foto: Mohd Izari Rosli
 
 
PERNAHKAH anda melihat atau terserempak atau mengalami sendiri situasi orang yang menjerit meminta tolong kerana hampir kelemasan di pantai atau sungai, lombong atau pun di kolam renang? Anda ingin menolong, tetapi anda sendiri tiada kekuatan kerana tidak tahu berenang, malah hilang punca dan jadi panik tidak tahu untuk berbuat apa-apa.

Dalam kes terpencil, anda mungkin pernah membaca laporan akhbar atau mendengar berita di televisyen tentang seorang kawan atau ahli keluarga cuba menyelamatkan mangsa yang terkapai-kapai di sungai atau pantai, tetapi akhirnya dia yang kelemasan, dan mangsa selamat. Ada kes pula, kedua-dua – mangsa dan si penyelamat hanyut dibawa arus dan ditemukan meninggal.

Situasi begini sebenarnya boleh dibendung jika kita mempunyai sedikit asas sekurang-kurangnya atau kemahiran berenang dan pengetahuan keselamatan di air. Ya, kita tahu ajal, maut di tangan Tuhan, namun kita dituntut melakukan pencegahan dan usaha awal mengelak insiden daripada berlaku.

Kemahiran berenang

Seseorang yang pandai secara asas atau memiliki kemahiran berenang merupakan satu bonus. Ini kerana air tidak sama dengan tanah (daratan). Di tanah seseorang yang terjatuh akan menjerit kesakitan, tetapi di air jika terjatuh dan tidak tahu berenang, dalam beberapa saat sahaja boleh lemas kerana kesukaran bernafas.

“Mereka yang tak tahu berenang, jika terjatuh di kawasan air dalam atau berarus deras seperti sungai, pantai dan air terjun lebih berisiko kerana mangsa tidak mengeluarkan bunyi.

“Sebab itu bagi yang tidak tahu berenang seperti anak kecil atau orang tua yang ada penyakit jantung tidak boleh dibiarkan mandi berseorangan walaupun di kolam biasa. Mereka perlu ada teman. Orang tua misalnya, kita tak tahu keadaan dan keupayaan badan dia,” kata Pengurus Besar D Swim Academy Sdn Bhd, Cyrena Yong ketika ditemui di pejabat DSwim Academy di Pusat Akuatik Nasional Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Menurutnya, DSwim Academy turut mengadakan Minggu Keselamatan Air dua kali setahun bagi menunjuk ajar semua pelanggan DSwim Academy bagaimana menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain ketika berlaku kecemasan di air, termasuk teknik CPR.

DSwim Academy menawarkan pelbagai program renang dari usia bayi (6 bulan) ke atas sehingga peringkat negeri dan kebangsaan yang dikendalikan jurulatih profesional, terlatih dan berkelayakan serta mematuhi standard dunia dalam industri renang dan keselamatan air. Akademi ini merupakan penerima Gold Level yang diiktiraf oleh Austswim.

“Kami menawarkan tujuh lesen (silibus) dengan harga RM140, iaitu untuk peringkat tidak tahu berenang, tahu berenang, mahir hingga boleh tahu kebolehan sampai di mana. Mereka yang tamat belajar akan diberikan sijil perakuan oleh Austswim," kata Cyrena.

Beliau memberitahu, betapa menghadiri kelas renang satu keperluan kini kerana kebanyakan kes lemas di air membabitkan mangsa yang tidak tahu berenang. Seperti negara Australia yang sangat menyokong, sekolah-sekolah di Malaysia dan kerajaan digesa menjadikan renang sukan wajib.

Lihat, guna apa yang ada di sekeliling

Bagaimanapun berenang saja tidak mencukupi, sebaliknya kita perlu mempunyai ilmu atau pengetahuan. Malah ibu bapa yang membawa anak-anak mandi di kolam atau sumber air lain, perlu memastikan dirinya memeriksa persekitaran kawasan terlebih dahulu.

“Kenal pasti dulu kedalaman kolam kerana mengikut SOP, setiap lantai kolam ada tahap kedalaman. Uji dahulu kedalaman dan suhu air, misalnya untuk bayi biasa antara 30-32 darjah Celsius.

“Setiap kawasan air – kolam, sungai, pantai atau air terjun berbeza SOP. Pantai lebih selamat dari air terjun kerana batu di kawasan air terjun berlumut dan licin boleh menyebabkan mangsa tergelincir dan terhantuk kepala menyebabkan mangsa tidak sedar diri dan lemas di dalam air.

Namun pantai kita tidak ada penyelamat, berbeza di luar negara seperti Australia dan Vietnam mereka sediakan penyelamat pantai,” kata Pengurus Pembangunan Perniagaan D Swim Academy, Abdul Hafiz Salleh.

Menurutnya, penting untuk melihat sekeliling kawasan, ada tak peralatan yang boleh digunakan seperti papan, kayu, tali, bola, botol kosong dan sebagainya. Jika berlaku kecemasan, alat-alat ini boleh digunakan untuk dihulurkan kepada mangsa bagi membantunya naik ke darat.

“Jangan terus terjun. Satu kesilapan apabila orang yang ingin selamatkan mangsa terus terjun. Jika nampak tangan mangsa masih menggapai boleh turun tapi guna kaki dahulu dan pastikan kepala di atas paras air.

“Tetapi jika kita juga sama berada di dalam air, telefon ambulans dahulu. Kita perlu menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu. Kalau di sungai kita tidak tahu ancamannya bagaimana, tumbuhan air pun boleh menarik kaki mangsa dan dibawa arus deras,” kata Hafiz.

Justeru Hafiz turut mengingatkan ibu bapa dan orang ramai yang berhasrat beriadah di pantai, air terjun atau sungai agar melihat keadaan cuaca dahulu. Jika berbahaya, elak daripada terjebak. Perlu ikuti SOP antarabangsa, iaitu berada dalam jarak dua meter dari dinding kolam atau pantai.

INFO

Kawasan kerap berlaku / berisiko:
Pantai
Sungai
Air terjun
Tasik
Lombong
Pembetung

Kes maut akibat lemas yang direkodkan JBPM
2018 - 65 orang (setakat 21 Februari)
2017 - 327 orang
2016 - 260 orang

*Sumber: Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.