PAS sama sekali tidak akan menutup pintunya terhadap mana-mana tokoh termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau mengimbas kembali tindakan PAS pada era 1960-an yang menerima Tun Dr Mahathir Mohamad dengan baik selepas beliau dibuang daripada Umno.
"Kita terbuka kepada semua yang sedia menerima kita, bahkan pada 1969 kita terima Mahathir yang ditolak Umno (ketika itu).
"Kita menerima dan tidak bersikap negatif kepada sesiapa," katanya ketika sidang media di Marang, Terengganu hari ini.
Sebelum ini beberapa pemimpin Umno telah meminta Najib agar menjarakkan diri daripada parti itu kerana bimbang dakwaan skandal sekitarnya akan turut menjejaskan parti.
Pada masa sama, Hadi sebelum ini dilaporkan berkata PAS tiada halangan jika Najib ingin membantu kempen parti itu di PRK Seri Setia.
Berhubung PRK itu, Hadi berkata beliau yakin "akan berlaku perubahan" jika trend pengundian PRK Sungai Kandis - dengan peratusan keluar mengundi yang merosot - berterusan dan ditambah dengan undi Umno kepada calon PAS Dr Halimah Ali.
Selain itu, katanya lagi, pihaknya juga mendapati sokongan terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) kian merosot.
"(Keadaan) Sangat positif kerana kita ada undi teras Umno, dicampur dengan (kemerosotan sokongan terhadap HARAPAN) dan perubahan undi di Sungai Kandis, kita jangka akan ada perubahan.
"Kita sedar kemenangan tidak mudah tetapi ia tidak mustahil. Kita akan kerja kuat," katanya lagi.
Halimah akan berdepan calon HARAPAN Halimey Abu Bakar.
Pada PRU ke-14, PKR menang besar di Seri Setia apabila mendapat 29,250 undi berbanding BN (9,878) dan PAS (4,563).
PRK itu diadakan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin akibet kanser pada 2 Ogos lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.