KEADIAN DAILY
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia dan Singapura semakin hampir selesai merundingkan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Kenyataan tersebut dibuat timbalan presiden KEADILAN itu selepqs bertemu Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.
“Berunding lanjut dengan menteri, Khaw. Kami semakin hampir merundingkan penyelesaian yang menang-menang mengenai HSR.
“Terima kasih atas kerja keras para pegawai daripada kedua-dua pihak,” katanya menerusi Twitter.
Memetik laporan Bernama, Azmin tiba di Singapura malam tadi dengan “jadual yang ketat” dan turut bertemu dengan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan.
“Mendapat peluang bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara yang luas termasuk kebimbangan geopolitik. Membincangkan cara terbaik bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala ke peringkat seterusnya,” kata Azmin menerusi hantaran Twitter yang berasingan.
Lewat petang ini, gambar Azmin bertemu Lee Hsien Loong turut diedarkan kepada media.
Namun, butiran pertemuan dua tokoh itu belum diumumkan kepada media.
Azmin sebelum ini mendedahkan kos akhir projek HSR termasuk pengambilan tanah, boleh mencecah sehingga RM110 bilion.
Putrajaya yang pada awalnya mahu membatalkan projek itu kini menyemak semula pendiriannya susulan kemungkinan pembayaran pampasan yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.