Penyanyi tersebut juga turut terkilan kerana masih
belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo yang dijanji sejak
hampir setahun lalu.
Jarang pula kita dengar hadiah yang diberikan kepada pemenang sesebuah pertandingan merupakan barangan palsu dan lebih buruk apabila ada hadiah yang masih belum disampaikan walaupun sudah setahun.
Demikian yang dihadapi, juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah apabila dia dikejutkan dengan berita rantai berlian bernilai RM80,000 rupanya bukan berlian asli.
Aishah menyampaikan kekecewaannya itu dalam satu posting video di laman Instagram, selepas pemeriksa berlian di sebuah kedai emas tidak dapat mengesan batu tersebut.
Untuk pengetahuan, rantai berlian itu adalah hadiah bonus tajaan daripada Datuk Seri Vida.
“Mulanya saya pergi kedai barangan kemas untuk ubah suai rantai tersebut kerana ia terlalu besar untuk dipakai setiap hari, tapi mengejutkan apabila pemeriksaan mendapati ia bukan asli.
“Dua kali ‘tauke’ kedai itu check, ingatkan mesin berlian itu rosak tapi apabila letak cincin (berlian asli) berbunyi pula, saya terkilan dan tertanya adakah kerana ini hadiah tambahan bermakna penaja tak boleh memberi jaminan ia tulen,” katanya.
Alat pengesan berlian boleh didapati di kebanyakan kedai emas digunakan untuk memastikan keaslian batu berlian dengan menyentuh barang kemas terbabit.
Dalam satu lagi perkembangan terkini, Vida dikatakan meminta kembali rantai berlian tersebut kerana kecewa Aishah tidak faham berlian berkenaan mempunyai “nilai susut”.
Bagaimanapun Aishah tetap berpegang kepada tuntutannya, ia bukan mengenai “nilai susut” seperti yang didakwa Vida sebaliknya mengenai ketulenan berlian itu sendiri.
Aishah akui ia hanya batu cubic zirconia dan batu sintetik.
“Kalau penaja kata hadiah itu plastik atau kayu sekalipun saya terima, tapi jangan tipu,” petik kata Aishah.
Bukan itu sahaja, penyanyi tersebut juga turut terkilan kerana masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo yang dijanji sejak hampir setahun lalu.
Ekoran itu, Aishah berharap pihak yang bertanggungjawab ambil perhatian terhadap perkara tersebut memandangkan ia bukan sahaja mengambil masa yang lama malah banyak dilakukan perubahan.
Misalnya, pada awalnya tanah tersebut dikatakan berlokasi di Johor Bahru tetapi di tukar ke Selangor selepas itu.
Selain Aishah, pemenang tempat kedua, Liza Hanim dan ketiga iaitu Lan Solo juga belum menerima hadiah tanah lot yang dijanjikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.