Khamis, 2 Ogos 2018
Adun Seri Setia meninggal dunia
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.28 petang tadi kerana menghidapi kanser kolon.
Kematian beliau dimaklumkan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
“Saya dengan penuh dukacita dan rasa hiba memaklumkan bahawa YB Dr Shaharuddin Badaruddin, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, telah pulang ke rahmatullah pada jam 6.28 petang tadi,” ujarnya.
“Keluarga besar Keadilan merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” ujarnya dalam kenyataan lewat petang ini.
Jenazah dijangka akan dibawa pulang ke rumah selepas maghrib, di alamat No 15, Jalan Pinggiran Putra 2/3 Desa Pinggiran Putra, Kajang Selangor.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi Seri Setia dengan majoriti 29,250 undi.
Beliau menewaskan calon BN yang memperoleh 9,878 undi, calon Pas yang memperoleh 4,563 undi, dan calon bebas, S Vigneswaran, 217 undi.
Kembalinya kerahmatullah Dun Seri Setia ini, adalah kematian ketiga membabitkan wakil rakyat Pakatan Harapan di Negeri Selangor dalam tempoh sebulan.
Sebelum ini pada 2 Julai Adun Sungai Kandis Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meningal dunia kerana menghidapi barah limfoma dan diikuti pada 21 Julai kematian Adun Balakong mendiang Ng Tien Chee yang maut dalam nahas jalan raya di Cheras.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis akan diadakan pada Sabtu ini (4 Ogos) manakala PRK Balakong akan diadakan pada 8 September depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.