Ahad, 29 Julai 2018

Wan Azizah sangkal kerajaan PH gagal laksana janji

Manzaidi Mohd Amin

wanazizahkempen-681x469
Wan Azizah dan Mohd Zawawi melancarkan jentera bermotosikal PKR di DUN Sungai Kandis.


SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) perlu bertanya pada diri sendiri berapa lama mereka mentadbir kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu mengambil alih pusat pentadbiran Putrajaya pada 10 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dalam tempoh tidak sampai tiga bulan mengurus pusat pentadbiran Persekutuan, tidak logik untuk BN menjaja isu kononnya kerajaan PH gagal melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Rakyat dengar dakwaan yang dibawa oleh pemimpin BN ketika berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis ini pun rasa lucu dan tahu menilainya.

“BN sudah hampir 60 tahun menjadi kerajaan, kita (PH) baru hampir tiga bulan. Tapi sudah ada beberapa janji kita, telah kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru bersama Biro Kesihatan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di dewan Sekolah Rendah Islam Al-Ainani di Taman Sri Andalas, Sungai Kandis, hari ini.

Turut hadir, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Selepas program itu, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR melawat Pusat Pemulihan Darul As Solihin, Batu 7, Jalan Kebun dan bersama 300 wanita berselawat serta cukur jambul bayi di Masjid An Naim, Batu 7 Jalan Kebun.

Ditanya perkembangan kempen dan sambutan rakyat terhadap calon PKR, Dr Wan Azizah memberitahu, beliau yakin PKR kekal mempertahankan kerusi DUN itu pada PRK 4 Ogos ini.

Menurutnya, UMNO dan BN akan melakukan apa sahaja dalam keadaan terdesak dengan menabur fitnah dan mereka cerita bagi tujuan memburuk-burukkan kepimpinan PH.

“Kita (jentera) sentiasa bersedia dengan gerak kerja yang berbaur fitnah itu. Kita yakin, rakyat dapat menilainya sendiri dan tahu rekod cemerlang kerajaan Selangor bawah PH,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.