SELANGORKINI
JAKARTA: Rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian
gempa bumi di Nusa Tenggara Barat hari ini dilaporkan dalam misi
pendakian ke gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.
Mangsa yang setakat ini hanya dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30,
menyertai 17 warga Malaysia lain dalam program untuk mendaki gunung
itu.
Menurut Ketua Polis Lombok Timur, M.Eka Fahurrahman, mangsa terkorban akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan.
“Sebanyak 18 warga Malaysia dalam misi mendaki Gunung Rinjani, enam cedera manakala yang lain selamat,” katanya.
Maklumat lengkap berhubung mangsa dan kumpulan pendaki dari Malaysia itu belum diperoleh sepenuhnya.
Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia juga masih berusaha mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian itu.
Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat adalah destinasi popular pelancong dan pendaki.
Gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian
3,726 meter adalah sebahagian daripada Taman Nasional Gunung Rinjani
seluas 41,330 hektar yang popular dengan keindahan semulajadinya.
Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa
Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi tadi menyebabkan penduduk
kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika
Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28
km barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.
Menurut BMKG, berlaku 31 gegaran susulan di bawah 5 skala Richter selepas gempa pertama itu sehingga jam 7.39 pagi tadi.SUMBER: BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.