Isnin, 2 Julai 2018

Padah curi televisyen di pasar raya

Padah curi televisyen di pasar raya
Perbuatan suspek berjaya dirakam CCTV pada kiosk terbabit.
 
 
BUKIT MERTAJAM - Suspek yang mencuri sebuah televisyen di kios sebuah pasar raya di Seberang Jaya di sini pada awal Jun lalu akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) berjaya mengesan suspek di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di sini awal pagi semalam.

“Serbuan yang dilakukan jam 1.30 pagi berjaya menahan suspek di rumah berkenaan dan soal siasat yang dilakukan suspek mengakui terlibat dengan kejadian berkenaan dan menjual televisyen berkenaan kepada individu tidak dikenali di Butterworth dengan harga RM200.

“Semakan dibuat mendapati suspek yang berusia 35 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki bertindak luar jangkaan apabila mencuri sebuah televisyen di kios menjual kerusi urut di sebuah pasar raya tersebut.

Bagaimanapun tindakan suspek bakal mengundang padah apabila aksi ‘beraninya’ itu berjaya dikesan kamera litar tertutup yang dipasang di kios tersebut.

Nik Ros Azhan sebelum ini berkata, kehilangan televisyen tersebut disedari jurujual kiosk terbabit yang ketika itu baru hendak memulakan perniagaan.

“Jurujual kiosk terbabit ketika itu baru hendak memulakan perniagaan, dan tersedar akan kehilangan televisyen yang digunakan untuk mempamerkan iklan produk barangan yang dijual.

“Televisyen tersebut dipasang di dinding ruang pameran kedai tersebut dan tanpa diduga suspek membawa lari televisyen tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.