Sabtu, 28 Julai 2018

Hantu UG dihidupkan kembali di Sg Kandis?



PRK Sungai Kandis muncul ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang sibuk membahagi-bahagikan jawatan politik dalam kerajaan kepada pendukung parti-parti komponen. Ada yang dapat semua yang dihajati. Ada yang dapat sebahagian besar. Ada yang dapat sebahagian kecil. Dan ada yang tak dapat apa-apa bahagian yang mereka hajatkan, kecil atau besar.

Hajat ini sebelum PRU ke-14 selalu diistilahkan sebagai 'dedak'.

Pada ketika yang sama, Menteri-menteri yang baru dilantik masih lagi dalam keadaan 'in the making of' atau 'under construction'. Iaitu masing-masing sedang kelihatan seperti terkial-kial dalam proses mencongak apakah peranan yang perlu mereka mainkan sebagai Menteri. Beberapa idea dan ulasan 'bertaraf Menteri' di Parlimen dan sidang media masih lagi kaku, 'flip flop' dan terlalu bersifat 'political acrobatic'.

Tuntutan melaksanakan Manifesto 100 hari

Tidak cukup dengan itu, PH sedang lebat dihujani dengan tuntunan-tuntutan agar segera melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka, terutamanya kategori Janji 100 hari sebaik saja mengambil alih pentadbiran negara. Kepimpinan PH sedang jenuh ber'silat', ber'tae kwan do' dan ber'kungfu' bagi menangkis tuntutan-tuntutan tersebut dengan pelbagai alasan seperti era Datuk Ahmad Maslan masih di tampuk kuasa.

Dalam keadaan segenting ini, PRK Sungai Kandis terpaksa dilangsungkan. Ia berikutan kematian Adun PKR, al-Marhum Mohd Shuhaimi. Seorang tokoh berpengaruh yang dikatakan sebahagian daripada 'inner circle' YB Azmin Ali dalam mengemudikan pengaruh politik PKR di Selangor.

Kepentingan PRK Sungai Kandis bagi pengkaji politik

Walaupun keputusan PRK Dun Sungai Kandis nanti tidak mampu memberikan perubahan yang signifikan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Namun, ia tetap signifikan sebagai PRK pertama setelah selesainya PRU ke-14.

PRK Dun Sungai Kandis pada 4 Ogos ini akan menunjukkan beberapa perkara.

Antaranya, adakah rakyat masih dalam 'mood' gembira yang amat sangat dengan Kerajaan PH? Ataupun rakyat sudah mula 'menilai' kembali sokongan mereka kepada PH?

Atau adakah rakyat sudah 'tidak peduli' lagi dengan politik PH? PH dan Umno sama saja pada mereka. Bezanya, satu pihak sedang menjadi kerajaan. Satu pihak lagi adalah pembangkang. Semua janji manis, akhirnya dicapati. Rakyat juga yang terpedaya.

Kenapa PAS tidak bertanding?

PAS tidak bertanding dalam PRK ini. Walaupun banyak pihak menjangka PH akan berdepan dengan PAS.

Ramai pimpinan PH melempiaskan kekecewaan mereka dengan langkah PAS tidak bertanding.

Mereka sangat ingin menumbangkan PAS. Bila PAS tidak bertanding, tiada PAS untuk ditumbangkan dalam PRK ini, bagi menunjukkan sokongan mutlak rakyat hanya kepada PH.

Lebih menarik lagi, Umno yang beria benar mahu bertanding sebagai pembangkang di peringkat negeri dan Pusat dalam PRK ini. Umno mula berbincang dengan PAS tentang strategi satu lawan satu. Langkah ini disindir oleh Tun Mahathir dengan mengatakan PAS adalah 'adik-beradik' Umno.

Hantu UG dihidupkan semula

Kemudian sindiran tersebut telah disambut oleh cybertrooper PH dengan penuh bersemangat, menyatakan itu adalah pengesahan UG PAS dan Umno, yang sejak sekian lama, dinafikan oleh PAS.

UG apakah lagi maksud mereka. Entahlah?

Umno bukan Kerajaan Pusat, PAS pun bukan. Campur PAS dan Umno pun belum boleh membentuk kerajaan kerana PH menang 2/3 Parlimen.

Walaupun dah menang majoriti 2/3 di Parlimen, PH masih takutkan bayangan hantu UG ciptaan mereka.

Kenapakah hantu UG dihidupkan kembali?

Rupanya PH masih bimbang dengan faktor sokongan Melayu kepada mereka. PAS dan Umno didapati masih mendapat kepercayaan besar di kalangan majoriti umat Melayu Islam di Malaysia.

Isunya ialah Umno digambarkan seperti 'kapal yang karam' oleh kepimpinan mereka sendiri. Kapal yang karam di lautan dalam mungkin hanya akan berjaya ditemui dan diangkat semula selepas beratus tahun. Besar kemungkinan, hanya sebagai bahan sejarah yang sangat bernilai. Tidak lebih daripada itu.

Oleh itu, PH ingin PAS agar terus menjauhi Umno agar tidak terpalit dengan hantu UG. Ini tentulah akan memudahkan PH mendekati saki baki Umno yang sedang terkapai-kapai agar berpaut kepada bot-bot penyelamat Bersatu atau PKR.

Ini adalah strategi yang licik.

Namun PAS masih berterusan mendekati Umno secara penuh berhemah melalui strategi Budaya Berpolitik Matang dan Sejahtera. Bahkan dalam PRK ini, PAS bertindak lebih jauh sehingga memberi ruang kepada Umno untuk berhadapan dengan PH secara langsung, tanpa perlu bimbang terpaksa berhadapan juga dengan PAS secara serentak.

Demokrasi pasca PRU ke-14

Politik pasca PRU ke-14, tidak sama lagi seperti dahulu. Strategi politik yang masih di takuk lama, akan mengurangkan relevansi sesebuah parti politik daripada arus Malaysia Baru.

Tapi PH dalam PRK ini masih berkempen dengan modal lama seperti yang dirumuskan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) kelmarin,

“Jelas bahawa faktor Tun Dr Mahathir Mohamad, faktor menolak BN, manifesto untuk menghapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan kemampuan Pakatan Harapan mentadbir kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Selangor, telah berjaya menarik sokongan pengundi Dun khususnya undi orang Melayu".

Apa pun strategi PH, ia masih berupaya membuahkan hasil kerana pertandingan adalah di 'kawasan putih' bagi mereka.

Isu-isu Melayu dan Islam

Isu-isu berkaitan Melayu dan Islam, dijangka akan mula mendapat pertimbangan semula pengundi-pengundi di Dun Sungai Kandis.

Isu-isu ini sebelum ini, ditenggelamkan oleh kemarahan rakyat kepada DS Najib dan BN dalam PRU ke-14 baru-baru ini.

Penutup

Kepada pengundi Dun Sungai Kandis, anda adalah tumpuan utama 4 Ogos nanti. Isyarat pengundian anda akan dikaji dengan mendalam oleh para penganalisa politik.

Sama ada anda memberikan undi yang lebih besar untuk PH. Atau mengecilkan sokongan kepada mereka. Atau mengecilkan jumlah keluar mengundi. Atau tidak mengendahkan hari pengundian.

Semuanya adalah signifikan dalam memahami mood terbaru rakyat di kawasan putih PH.

Ya, jika Umno menang. Ia adalah sangat luar biasa. Tapi ia bukanlah mustahil. Sama seperti luar biasanya PH menumbangkan Umno dalam PRU ke-14.

PAS pula pada kali ini, mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon. Dan selamat mengundi kepada pengundi Dun Sungai Kandis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.