ARIF ATAN
Kementerian Pertahanan hari ini memberitahu kajian semula yang
dinyatakan menterinya pada 28 Jun lalu adalah merujuk kepada Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) bukannya Akta Majlis Keselamatan Negara
(MKN) seperti yang dilapor.
Kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat kementerian itu
berkata, terdapat kekeliruan dalam laporan media berhubung kenyataan
Mohamad Sabu berkenaan Akta MKN dalam sesi wawancara bersama media pada
hari tersebut.
“Kajian semula yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan adalah merujuk
kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan bukannya Akta MKN
seperti yang dilaporkan,” dipetik dari kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut lagi, Kabinet akan memutuskan sama ada
program PLKN diteruskan atau tidak selepas selesai kajian semula
dilakukan.
Kerajaan BN sebelum ini meluluskan Akta MKN di Dewan Rakyat pada
2015. Kelulusan akta drakonian itu didakwa membelakangi Majlis Raja-Raja
dan diluluskan tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, banyak pihak menganggap pewartaan Rang Undang-undang
(RUU) MKN 2015 sebagai undang-undang adalah perkembangan berbahaya yang
tidak pernah berlaku dalam sejarah perlembagaan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.