Wan Azizah ialah presiden penubuhannya dan presiden selama-lamanya, tetapi hakikatnya dia melaksanakan tugas suaminya sebagai pengawal jarak jauh.
Mungkin Wan Azizah itu ada daya kepimpinannya, tetapi Anwar mempunyai keupayaan semula jadi. Selama-lamanya Anwarlah presiden dengan apa jua nama jawatan yang diberi kepadanya.
Dr Mahathir Mohamad mengguna pakai nama pengerusi BERSATU sedang parti itu ada presidennya, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Mahathirlah menakhodai BERSATU seperti Anwar mengemudi PKR.
Apabila Anwar mula dicalonkan untuk menjadi presiden baru menggantikan Wan Azizah, tiada benda yang baru selain daripada nama ketua umum tidak dipakai lagi.
Atau nama presiden tidak lagi diguna, kerana di tanah seberang ketua umum itulah presiden.
Tak halal pegang kertas kabinet
Jika Wan Azizah sudah tidak jadi presiden, apa pula kedudukannya bagi melayakkan terus jadi timbalan perdana menteri (TPM) selama Anwar belum menjadi perdana menteri.
Wan Azizah akan turun sebaik saja ditakdirkan Anwar menggantikan Mahathir.
Sekalipun Wan Azizah TPM, tetaplah Anwar membayanginya. Orang rasa Anwarlah TPM sebenar walaupun beliau bukan anggota kabinet.
Lazimnya tidak boleh kertas kabinet ke tangan bukan anggota kabinet. Boleh ke penjara semula jika disabitkan memegang kertas kabinet.
Tetapi bagaimana hendak menjamin Anwar tidak menengoknya? Lainlah jika Anwar dijadikan ahli kabinet tanpa portfolio bagi menghalalkannya memiliki kertas kabinet.
Payah difikirkan Anwar sedia masuk kabinet selagi Azizah menjadi TPM.
Apa yang memerlukan Anwar menggantikan Wan Azizah sedang pimpinannya tidak terganggu selama ini? Mungkin sekarang dia tidak dibayangi lagi untuk ke penjara yang menghalalnya memegang jawatan awam. Tetapi Anwar pernah bebas. Dia selesa jadi ketua umum saja. Tidak terlintas untuk menggantikan Wan Azizah ketika itu, seperti keadaan sekarang.
Apakah dia terfikir untuk dipenjara lagi, maka biarlah Wan Azizah saja jadi pemimpin rasmi.
Jika dia hendak menggantikan Wan Azizah, dia boleh pada bila-bila masa saja.
Lain di Turki
Memang ajaib juga - sebagai pemimpin besar reformasi bagi membawa perubahan politik dan pemerintahan - Anwar menjadikan isterinya yang tiada pengalaman politik dan organisasi menjadi pengasas dan pemimpin parti yang ditubuhkan.
Ramai yang pintar dan menyokong Anwar boleh dijadikan pemimpin semasa Anwar tidak dibenarkan memimpin dalam apa jua keadaan.
Ketika Recep Tayyip Erdogan dilarang menjawat jawatan awam atas tohmah jenayah yang dikenakan ke atasnya, dia tidak menjadikan isterinya menubuh dan memimpin Parti AK yang diasaskannya.
Diadikan Abdullah Gul dan lain-lain menjalankan kerja Erdogan. Anwar lain, diamanahkannya isterinya, tidak orang lain. Mengapa?
Mungkin banyak fitnah jika orang lain jadi orang kanan Anwar. Mungkin orang lain semuanya tidak boleh dipercayai seperti setianya seorang isteri.
Memang dalam sejarah PKR, tidak ramai pengasas PKR kekal dalam PKR melainkan Wan Azizah dan Azmin Ali. Ramai yang mengkhianati.
Mungkin itu faktor Wan Azizah jadi orang nombor duanya.
Jika masa bebas dulu Anwar tidak rasa perlu jadi presiden, mengapa sekarang pula dia setuju?
Mungkin ada sesuatu yang dirahsiakan dan mencabar parti itu sehingga memerlukan Anwar tidak boleh guna selain dirinya sendiri. Tambahan pula usianya lanjut dan selalu ke hospital, maka PKR perlu dipasak di sana sini.
Wan Azizah perlu digantikan bagi membolehkan Anwar menyediakan pengganti yang benar-benar anwariyin.
SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan judul Tiada Yang Mengejut Anwar Ganti Isterinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.