Insiden itu menyebabkan seorang PATI rakyat Indonesia lemas, 25 selamat manakala 18 yang lain masih hilang.
KOTA TINGGI: Seorang lelaki mangsa bot karam di Tanjung Punggai,
dekat Pengerang, tengah malam tadi menyifatkan angin kuat dan ombak
besar menjadi punca kejadian berlaku.Agil, 27, berkata ombak besar menyebabkan bot dinaiki 44 orang termasuk tekong itu dimasuki air sebanyak 3 kali sebelum akhirnya terbalik dan terlangkup.
“Keadaan ketika itu menjadi kucar-kacir, kami berusaha mengeluarkan air yang memasuki bot sebanyak 2 kali, namun bot akhirnya terbalik dan terlangkup apabila dimasuki air kali ke-3,” katanya yang ditemui pemberita di Jeti Marina Pengerang, Tanjung Pengelih, hari ini.
Agil berkata, dia selamat dan terapung kerana memakai jaket keselamatan, namun, isterinya, Siti Aisyah, 44, tidak memakai jaket keselamatan dan kemudiannya didapati tidak sedarkan diri.
Agil berkata dia kemudiannya membawa Siti Aisyah keluar dari bawah bot yang terlangkup itu dan cuba memeriksa nadinya, namun, isterinya didapati sudah lemah lalu meninggal dunia.
Menurut Agil, dia dan isterinya berasal dari Jambi, Sumatera dan mereka berdua yang berkahwin lebih setahun lepas dalam perjalanan pulang untuk bekerja semula di Semenyih, Selangor.
Katanya dia bekerja sebagai buruh binaan manakala isterinya sebagai tukang masak dan mereka pulang ke Jambi, pada 8 Ramadan lepas.
“Saya sebenarnya tidak mahu kembali ke Malaysia kerana pasport kami berdua telah tamat tempoh, namun, Siti Aisyah berdegil mahu kembali ke Malaysia menaiki bot pancung dengan membayar 1.8 juta Rupiah (RM500),” katanya yang bersyukur kerana terselamat.
Dalam kejadian 12 tengah malam tadi, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia lemas, 25 selamat manakala 18 yang lain masih hilang apabila bot pancung dinaiki mereka karam di kedudukan 6.5 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang.
Operasi mencari dan menyelamat baki yang hilang masih dijalankan sehingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.