Sabtu, 30 Jun 2018

Wujud tabung bantu perjuangan Umno


Wujud tabung bantu perjuangan Umno
Asyraf (dua, kiri) beramah mesra bersama Pemuda yang menghadiri perjumpaan di Pengkalan Chepa, di sini.
 
 
KOTA BHARU - Sekiranya perlu Pemuda Umno akan menubuhkan tabung khas biayai perjalanan aktiviti  jika akaun parti itu  terus dibekukan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan melihat perkembangan tindakan Kerajaan Pakatan Harapan terhadap parti itu terlebih dahulu.

Menurutnya, kelmarin juga beliau meminta SPRM supaya menarik balik tindakan pembekuan akaun Umno kerana siasatan masih boleh dilakukan tanpa perlu menganiayai operasi parti yang sah dalam amalan demokrasi Malaysia Baharu.

“Jika perlu kita akan tubuhkan tabung untuk biayai apa jua aktiviti yang kita lakukan. Setakat ini  apa. yang kita buat pun dengan iklhas dan sukarela.

“Pemuda dan ahli sedar perjuangan kita bukan atas dasar harta benda. InsyaALLAH semakin ditekan makin kita bangkit,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan pertama bersama barisan Pemuda Umno negeri di sebuah restoran di Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, kezaliman yang dilakukan terhadap Umno itu tidak sesekali melemahkan perjuangan ahli-ahlinya bahkan semakin bersemangat demi parti.

“Sekarang ini paling penting saya merasai semangat di peringkat bawah tidak akan terjejas dengan hanya akaun dibekukan.

“Mereka  boleh  buli dan aniaya kita tetapi tidak boleh tutup semangat perjuangan yang ada di kalangan anak-anak muda sebab itu saya katakan api perjuangan baru bermula,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.