Khamis, 28 Jun 2018

Syarikat penerbangan kenakan caj tersembunyi akan diambil tindakan - Loke

Bernama/ ASTRO AWANI
Syarikat penerbangan kenakan caj tersembunyi akan diambil tindakan - Loke
Mavcom akan mengkaji dan melihat kalau mana-mana syarikat penerbangan mengenakan caj-caj tersembunyi. - Gambar hiasan
 
 
SEPANG: Syarikat penerbangan yang didapati mengenakan caj tersembunyi ke atas pengguna akan dikenakan tindakan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, arahan telahpun dikeluarkan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mengambil tindakan kerana caj tersembunyi adalah sesuatu yang tidak patut dikenakan kepada pengguna.

"Pihak Mavcom akan mengkaji dan melihat kalau mana-mana syarikat penerbangan mengenakan caj-caj tersembunyi ini. Kita akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran FlySmart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
 
Loke berkata tindakan itu juga bertujuan memperkukuh Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) untuk memastikan hak-hak pengguna dilindungi dengan baik.

Beberapa penambahbaikan lain yang dicadangkan Mavcom kepada MACPC termasuk peraturan yuran, caj perkhidmatan penumpang, yuran pemprosesan bayaran balik penumpang, yuran pentadbiran, fi untuk penyediaan bantuan khas dan yuran pemprosesan kad pembayaran.

Mengenai FlySmart yang dilancarkan hari ini, Loke berkata ia merupakan laman web yang mengandungi maklumat berhubung hak pengguna, tip perjalanan selain video interaktif.

Flysmart merupakan inisiatif Mavcom untuk mendidik pengembara udara mengenai hak mereka sebagai pengguna dalam merancang perjalanan udara.

Flysmart menyediakan platform kepada pelawat untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman perjalanan serta membantu satu sama lain terutamanya dalam melaksanakan hak mereka seperti yang dilindungi di bawah MACPC 2016.

Sementara itu, Loke turut menghadiri majlis ulang tahun ke-20 Airport Coach Sdn Bhd di sini.

Pada majlis tersebut beliau menerima sumbangan RM20,000 daripada Airport Coach untuk Tabung Harapan Malaysia. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.