Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan bon tingkah laku baik RM10,000 selama dua tahun atas sabitan kesalahannya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Sebelum ini, Rafizi dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki dan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan MDB pada sidang akhbar di Parlimen.
Panel tiga anggota yang diterajui oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan bon tingkah laku baik setelah Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah cadangan yang dibuat oleh peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid.
Ahmad Nizam berkata mereka tidak merayu terhadap sabitan kesalahan itu tetapi mengenai hukuman itu.
Dua lagi hakim yang bersidang sama adalah Datuk Ab Karim Ab Rahman dan Datuk Kamardin Hashim.
Ahli Parlimen Johor Bahru Ahmad Kamal Nasir kemudiannya bertindak sebagai penjamin untuk Rafizi.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan salah satu sabitan terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hukuman penjara 18 bulan.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Azman Abdullah membebaskan ahli Parlimen Pandan itu terhadap satu lagi sabitan OSA.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Rafizi atas dua pertuduhan OSA dan menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara, dengan hukuman diperintahkan berjalan serentak.
Pemimpin PKR itu didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki dokumen itu, yang diklasifikasikan sebagai OSA.
Dia didapati bersalah mendedahkan laporan itu semasa sidang akhbar di lobi Parlimen pada kira-kira pukul 3 petang 28 Mac tahun lalu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) (c) (iv) OSA.
Di bawah OSA, seseorang boleh dijatuhi hukuman minimum 12 bulan atau sehingga tujuh tahun penjara.
Akibat keputusan mahkamah itu, Rafizi tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.