Sabtu, 23 Jun 2018

PAS menang Kelantan, Terengganu kerana strategi BN

PAS menang Kelantan, Terengganu kerana strategi BN
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, Profesor Dr Redzuan Othman berkata kajian yang dibuat ke atas data PRU14 menunjukkan jumlah undi popular diraih PAS di Kelantan dan Terengganu adalah sama dengan angka semasa PRU13 dan PRU12. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PAS menjadi parti paling beruntung dalam pertandingan tiga penjuru dirancang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14, menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE).

Kajian yang dibuat ke atas data PRU14 itu menunjukkan, jumlah undi popular diraih PAS di Kelantan dan Terengganu adalah sama dengan angka semasa PRU13 dan PRU12 yang lalu.

"Namun apabila undi BN berpecah kepada PH, ketika undi PAS kekal teguh, maka PAS menang di kedua-dua negeri itu," kata Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Dr Redzuan Othman kepada The Malaysian Insight.

Menurut kajian itu, PAS mengekalkan undi popular sebanyak 48% di Kelantan dan jumlah itu naik sedikit kepada 49% di Terengganu, namun undi popular BN turun kepada 39% di Kelantan dan 41% di Terengganu.

PH pula hanya menarik 11% undi popular di Kelantan dan hanya 10% di Terengganu yang dipercayai dirampas daripada BN sebelum ini kerana undi popular PAS tetap kekal.

Dalam PRU14 lalu, PAS menang 37 kerusi di Kelantan manakala BN lapan kerusi dari 45 kerusi negeri yang dipertandingkan.

Di Terengganu pula, PAS mendapat 22 kerusi manakala BN 10 kerusi. Dalam PRU13 lalu, PAS hanya mendapat 14, BN (17) dan PKR (1).

Di Kedah, PAS mendapat 15 kerusi negeri dan lapan lagi di Pahang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.