Sabtu, 2 Jun 2018

Musa Aman ke luar negara dapatkan rawatan perubatan

sitifatimah


Nafi keluar secara haram, sudah ikut saluran imigresen yang betul


BANGI– Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman menolak dakwaan keluar dari negara ini secara haram, sebaliknya telah mengikut undang-undang yang ada.

Tanpa mendedahkan lokasi Musa berada, peguamnya, Zahir Shah memberitahu Musa sedang mendapatkan rawatan kesihatan atas nasihat para doktor. 

“Saya mahu maklumkan bahawa Musa ingin menjelaskan dia tidak pernah keluar melakukan perjalanan secara haram dan ingin menyatakan perjalannnya sentiasa melalui saluran imigresen yang betul.

“Musa akan pulang sebaik selepas rawatan kesihatannya selesai dan pakar perubatan berpuas hati dengan keadaan kesihatannya,” katanya. 

Namun semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan nama Musa telah disenarai hitam dari keluar negara dan dianggap melakukan satu kesalahan sekiranya didapati berada di luar negara.

Katanya, berdasarkan rekod imigresen, tiada sebarang maklumat yang menunjukkan Musa ke luar negara.

“Kalau keluar tanpa rekod itu satu kesalahan dan akan diambil tindakan,” katanya. 

Baru-baru ini pengguna Facebook mendakwa terdapat individu mirip Musa kelihatan berada di London, United Kingdom (UK). Musa menjadi individu dikehendaki polis bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan jenayah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.