Jumaat, 1 Jun 2018

Media perlu bebas kritik kerajaan bukan mengampu, kata Zunar

 
Media harus bebas mengkritik kerajaan, bukannya mengkritik pembangkang jika perubahan mahu dicapai.
 
 
 



PETALING JAYA: Kartunis Zunar menyeru kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi kebebasan kepada media mengkritik kerajaan bagi memastikan kesalahan dilakukan kerajaan lama tidak berulang.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata berdasarkan situasi semasa, beliau bimbang dengan laporan media yang lebih mengampu kerajaan PH.

“Ini tidak melakukan apa-apa perubahan dan saya lihat beberapa temu ramah media arus perdana tidak mengemukakan soalan tajam kepada pimpinan PH.

“Kebanyakan mereka melaporkan perkara baik tentang pimpinan masa ini dan menunjukkan mereka bagus di mata media. Ini ‘trend’ tidak bagus,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

Zunar berkata media harus bebas mengkritik kerajaan, bukannya mengkritik pembangkang sekiranya perubahan mahu dicapai.

Katanya, media perlu mengemukakan soalan yang tajam dan memberi peluang kepada pembangkang untuk bertanya.

“Ini harus dilakukan media sekarang. Media boleh utamakan beberapa individu jika mahu, tetapi jawapan menteri jelas tidak spesifik tentang apa yang hendak mereka lakukan.

“Anda perlu kritikal, bukannya bercakap dengan seorang-dua individu sahaja. Kalau ada pembangkang yang mengkritik, dan menteri boleh jawab, itu bagus bagi memastikan menteri sentiasa bersedia dan buat ‘homework’ sebelum menjawab soalan,” katanya.

Umno belum bersedia jadi pembangkang

Zunar berkata, Umno belum bersedia menjadi pembangkang kerana mereka tidak mempunyai “ideologi” untuk mengisi peranan itu.

Beliau berkata, rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu menjadi pembangkang dan bersedia mengkritik kerajaan untuk proses semak dan imbang selain memastikan kesilapan kerajaan BN tidak berulang.

“Kekuatan Umno terletak pada duit dan kuasa. Umno tak pernah tahu isu semasa berkuasa, mereka sentiasa dilindungi daripada menjawab soalan media.

“Umno susah nak hidup kembali kecuali mereka lakukan ‘overhaul’ bukan ‘repair’. Saya lihat jika Umno nak pulih, yang ada ‘akal’ sikit dalam kalangan mereka ialah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.