Sabtu, 30 Jun 2018

KHAIRY TERUS SALAHKAN NAJIB, 1MDB




Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjadikan medan debat Presiden UMNO sebagai medan menyalahkan kepemimpinan terdahulu dalam usaha meraih sokongan orang muda.

Malah, Khairy dengan lantang menyalahkan kepemimpin terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan isu 1MDB sebagai punca rakyat menolak UMNO.

Katanya, semua itu tidak berlaku seandainya UMNO tidak mengangkat presiden dan perdana menteri sebagai ‘dewa politik’.

“Saya akui pilihan raya yang lepas itu adalah kelemahan akibat tidak menyoalkan terus isu 1MDB dan terjadilah apa berlaku hari ini.

“Ini kekesalan saya sepanjang hayat. Saya rasa semua pemimpin yang ada dalam UMNO sama ada ahli Kabinet, ahli Majlis Tertinggi ataupun ketua-ketua bahagian ahli Parlimen, kita memang bersuara tetapi kita akhirnya berhenti menyoalkan tentang 1MDB sehingga kita ada dalam keadaan hari ini,”
katanya dalam rancangan debat calon Presiden UMNO yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Awani, Jumaat, malam.

Sementara itu Khairy ataupun lebih dikenali sebagai KJ menyatakan kekesetiaannya untuk tetap bersama parti keramat orang Melayu itu sekiranya ditakdirkan tidak terpilih sebagai presiden parti itu.

“Saya nak bagitau saya akan tetap taat setia kepada parti dan saya akan membantu presiden yang baharu untuk membina semula parti UMNO dan saya tak akan ke mana-mana.

“Esok perwakilan mempunyai pilihan yang sangat-sangat penting. Satu pilihan bukan sahaja untuk UMNO tetapi juga untuk negara Malaysia,” katanya.

Menurut Khairy, apa yang penting ialah mengejar falsafah untuk mendapatkan kebaikan dan bukannya kekayaan serta pangkat di dalam parti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.