Isnin, 25 Jun 2018

Khairy: Pimpinan tertinggi patut bantu parti, bukan jadi beban

 
Calon presiden Umno itu berkata, banyak kepincangan dan skandal dalam pentadbiran terdahulu menyebabkan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno sukar mengatasi persepsi serta realiti.


Khairy Jamaluddin memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak, ahli atau pemimpin parti yang melanggar undang-undang.


PETALING JAYA: Kepimpinan tertinggi Umno sepatutnya membantu parti, bukannya menjadi beban parti, kata bekas ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin.

“Jadi untuk pilihan raya akan datang, kalau tidak mahu lihat Pemuda dan Puteri gagal, parti secara keseluruhan, terutama kepimpinannya mesti bantu, jangan jadi beban pada parti.

“Sehinggakan bukan hanya orang muda, askar, orang Felda dan ada sebahagian polis tidak sokong kita, ia bukan sebab ada menteri tidak bertanggungjawab tidak buat kerja, tetapi kerana isu terlalu besar,” katanya sewaktu pembentangan manifestonya di Facebook hari ini.

Calon presiden Umno dalam pemilihan parti minggu depan itu berkata, banyak kepincangan dan skandal dalam pentadbiran terdahulu menyebabkan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno sukar mengatasi persepsi serta realiti.
“Kita sudah buat yang terbaik, Pemuda dan Puteri sudah buat yang terbaik, tetapi orang muda pada pilihan raya umum lepas mereka tidak lihat pada Pemuda atau Puteri, mereka menilai parti dari atas sampai bawah.

“Bak kata orang tua, air yang keruh itu adalah dari hulu, kita yang di hilir air dah keruh, apa yang kita buat tidak dapat mengubah persepsi sebabnya rakyat menilai dari atas.

“Rakyat ada masalah pada waktu itu dengan skandal kepimpinan dan sebagainya yang tidak dapat ditampung sesiapa.”

Khairy turut memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak, ahli atau pemimpin parti yang melanggar undang-undang.

“Tidak kiralah apa kedudukan dan pangkatnya, didakwa dan disabit di mahkamah, maka mereka perlu jawab tuduhan dan tidak akan lindungi sesiapa.

“Sekiranya ada pemimpin kita yang lari dari pihak penguatkuasaan, kita mesti ambil tindakan. Kita tidak mahu dikenali sebagai parti yang melindungi ahli-ahli kita yang tidak bekerjasama dan lari dari siasatan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.