CADANGAN untuk
menamatkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam industri
beras adalah satu langkah tepat dan selaras dengan tuntutan PAS sebelum
ini.
Tujuan asal penswastaan Lembaga Padi dan
Beras Negara (LPN) sehingga menubuhkan Bernas pada tahun 1994 adalah
untuk menguruskan simpanan stok negara secara sistematik, menstabilkan
harga beras dan menjaga kebajikan para pesawah di samping memperoleh
manfaat ekuiti daripada penswastaan tersebut.
Namun akhirnya, Bernas telah didominasi
oleh pihak korporat sepenuhnya pada tahun 2014 setelah dinyahsenarai
daripada Bursa Malaysia dan menjadi institusi yang berorientasikan
keuntungan semata-mata.
Mana mungkin sebuah syarikat
persendirian dipertanggungjawabkan untuk lebih mengutamakan kebajikan
sosial pesawah berbanding mengaut keuntungan syarikat jutaan ringgit
setiap tahun? Matlamat asal Bernas telah tersasar dan tidak ada
institusi khas yang berwibawa untuk membela nasib mereka.
Terlalu banyak isu yang meliputi
industri padi dan beras di negara kita. PAS berharap agar tindakan
menamatkan monopoli Bernas adalah langkah awal untuk memulihkan secara
keseluruhan pelbagai masalah yang membelenggu setiap rantaian pembekalan
dan permintaan beras di Malaysia.
Kita tidak hanya berhadapan dengan
masalah pengimport tunggal beras sahaja, tetapi juga isu subsidi dan kos
input pesawah, masalah kewangan pengilang dan pemborong, kawalan mutu
serta kegagalan memenuhi sasaran Tahap Sara Diri.
Oleh yang demikian, penamatan monopoli
Benas adalah aspek kecil yang perlu ditanggapi berbanding desakan solusi
yang lebih menyeluruh. Ekoran itu, kementerian juga digesa untuk
menilai semula salah satu pilihan yang dilihat lebih baik ketika ini
iaitu mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebagai
sebuah badan kawal selia yang lebih berkesan.
Di samping itu, LPN juga harus diberi
mandat yang lebih luas untuk memantau setiap rantaian bekalan dan
permintaan dari jelapang padi hingga ke pinggan rakyat.
PAS bersedia untuk bertemu dan
berbincang bagi mencadangkan pelan yang konstruktif sementara pihak
kementerian sedang membuka cadangan awam terhadap model baru pembekalan
beras di Malaysia.
Kami sangat berbesar hati untuk
berkongsi pandangan demi memastikan industri ini kekal ampuh seterusnya
boleh meningkatkan tahap sekuriti beras pada tahap terjamin.
Sejahtera Bersama Islam
*Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.