Sebagai orang lama dalam industri perfileman, pengarah dan penerbit David Teo menawarkan diri untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Malah Teo juga sedia memberikan pandangannya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Katanya dia berasa terpanggil untuk menghentikan kepincangan yang berlaku sejak sekian lama terutama selepas SPRM membuat 'lawatan' mengejut ke Finas baru-baru ini.
Antara cadangan ingin dikemukakan - setaraf dengan kelayakannya yang pernah dilantik sebagai penasihat Bank Simpanan Nasional - ialah mengenai pengurusan pentadbiran kewangan Finas supaya lebih telus dan terancang.
“Saya bersedia untuk bertemu sama ada dengan SPRM mahupun menteri bagi mengemukakan cadangan dalam menguruskan kewangan.
“Sebagai penerbit saya boleh nampak di mana kelemahan itu malah boleh beritahu perkara-perkara yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Malaysiakini.
Selain itu, penerbit filem 7 Perhentian, Jangan Pandang Belakang dan Mami Jarum itu juga mencadangkan reformasi secara besar-besaran dalam Finas.
“Kegagalan sudah lama berterusan dan ia tidak pernah diperbetulkan. Finas adalah satu daripada badan yang perlu diperbaharui.
"Jika kerajaan benar-benar ingin berbuat demikian, maka semua orang lama harus diganti,” katanya.
Finas juga kata Teo wajar lebih telus dalam pemberian geran, mengumumkan produksi mana berjaya memasuki sesi saringan dan lebih terbuka untuk menjelaskan kenapa sesuatu produksi berjaya mendapat dana dalam laporan mereka.
Untuk rekod, Teo pernah memegang jawatan anggota Lembaga Pengarah Finas selama tiga penggal.
Cuma mahu berkhidmat
Dia juga menegaskan pertemuan yang dicadangkan itu tidak dilakukan untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya mahu melihat industri perfileman negara berkembang maju.
Walaupun telah lama melepaskan jawatannya, Teo berkata dia tidak jemu untuk memantau setiap perkembangan yang berlaku dalam badan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Anggaplah ini sebagai khidmat saya untuk industri hiburan kita yang sedang tenat. Namun, ia langsung tidak ada kena mengena dengan kepentingan diri sendiri.
“Selama 18 tahun berkecimpung sebagai penerbit, saya tidak pernah sekalipun mengambil geran daripada Finas,” katanya.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini mengesahkan SPRM memanggil beberapa pegawai Finas bagi membantu siasatan berhubung pertikaian penyaluran dana perbadanan itu tahun lalu.
Menterinya Gobind Singh Deo bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu dipanggil kerana dikhuatiri menganggu siasatan suruhanjaya tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.