Jumaat, 29 Jun 2018

Dasar sewajarnya berhubung pekerja asing akan dilaksanakan – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan merancang untuk melaksanakan dasar sewajarnya berhubung pekerja asing.

Dasar itu, kata beliau, akan membantu menangani cara pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia selama ini, yang boleh dipersoalkan.

“Sebenarnya, kami sedang mengkaji untuk cuba mewujudkan satu dasar sewajarnya berkaitan pekerja asing…banyak perkara yang tak betul telah dilakukan (berhubung pengambilan mereka),” katanya pada majlis jamuan tengah hari Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia, di sini hari ini.

Dr Mahathir memberi contoh bagaimana sebuah syarikat diberi hak untuk membawa masuk pekerja asing, tanpa melalui proses tender yang sepatutnya dan mengaut keuntungan besar dengan cara itu.

Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri kali kedua mulai bulan lepas setelah menerajui Pakatan Harapan mencapai kemenangan mengagumkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, juga berkata Malaysia dijangka menerima kehadiran banyak pengunjung, “sesetengahnya secara sah, sesetengahnya secara tidak sah, sesetengahnya datang untuk sementara dan sesetengahnya pula untuk selama-lamanya.

“Semua ini perlu diberi perhatian,” katanya kepada hadirin.

Beliau berkata Malaysia juga dijangka menerima banyak pelancong, termasuk dari China, dan oleh itu, perkara berkaitan pengeluaran visa untuk mereka perlu diselesaikan dengan segera.

Dr Mahathir menegaskan bahawa bukannya mudah untuk memastikan semua orang asing memasuki Malaysia secara sah memandangkan negara ini mempunyai lima negara sebagai jiran rapat serta apa yang beliau sifatkan sebagai “sempadan yang sangat mudah untuk dibolosi”.

“Semua ini sedang dikaji dan kami mengalu-alukan apa jua cadangan daripada sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan mengalu-alukan kedatangan warga asing yang memiliki kemahiran tertentu seperti dalam teknologi baharu dan teknologi maklumat (IT) ke negara ini.

“Sekiranya warga asing yang datang ke sini memiliki kemahiran tertentu yang kami mahu, kami akan pelawa mereka supaya tinggal di negara ini dan malah menjadi warganegara, jika mereka mahu.

“Kami berharap lebih banyak orang yang memiliki kepandaian untuk datang dan tinggal di Malaysia bagi menyumbang ke arah menjayakan program perindustrian,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.