Rabu, 27 Jun 2018

Ada beg tiruan kualiti tinggi yang dirampas daripada Najib-Rosmah, kata polis

Ada beg tiruan kualiti tinggi yang dirampas daripada Najib-Rosmah, kata polis
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Amar Singh Ishar Singh berkata beg tiruan berkualiti tinggi itu mahal harganya walaupun bukan barangan asli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari
 
BEBERAPA beg tangan tiruan adalah antara yang dirampas dalam siasatan yang sedang dijalankan ke atas Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, kata polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Amar Singh Ishar Singh berkata beg tiruan berkualiti tinggi itu mahal harganya walaupun bukan barangan asli.

“Saya tak akan panggil tiruan. Ia barang yang sangat baik, sangat sedikit (jumlahnya), yang juga sangat mahal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat CCID di Jalan Semarak.

Kenyataan “beg tiruan” itu turut mengundang ketawa pengamal media yang hadir.

Amar berkata sejumlah 567 beg tangan dirampas dari kediaman berkaitan Najib termasuklah di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta dan unit kondominium mewah tempat tinggal anak lelaki dan perempuan mereka di Pavilion Residences serta sebuah lagi unit tidak berpenghuni di bangunan sama.

Beg itu adalah antara 37 jenama mewah termasuklah Hermes, Prada, Versace dan Chanel. Salah satunya adalah daripada jenama Bijan, jenama eksklusif yang ditempah khas dan tidak dijual secara terbuka.

Hanya beg jenama Hermes setakat ini yang dinilai mencecah RM51.3 juta untuk 272 buah beg.

Amar berkata polis mengambil masa lapan hari untuk menilai dan mengesahkan keaslian beg.

Ada antara beg yang dirampas, kata Amar lagi dinilai pada harga RM1.6 juta.

Keseluruhannya, jumlah nilai beg, wang tunai, barangan kemas, jam tangan dan cermin mata hitam berjenama antara RM900 juta dan RM1.1 bilion, katanya.
 
Nilai 12,000 barangan kemas yang dirampas dianggarkan berjumlah RM440 juta, tetapi ia hanya merujuk kepada jenis bahan digunakan dan masih tidak termasuk kos pertukangan, reka bentuk dan jualan.

Amar berkata polis akan menyoal mereka yang dikatakan memberikan semua itu sebagai hadiah kepada Najib dan Rosmah sebelum merekodkan keterangan pasangan itu.

“Ada laporan sebelum ini tentang jam yang dirampas. Kami perlu sahkan ia adalah hadiah,” katanya.

Polis membuka semula siasatan ke atas skandal kewangan rentas negara 1MDB selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei.

Serbuan ke atas kediaman dikaitkan dengan Najib dilakukan seminggu selepas Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.