Rabu, 27 Jun 2018

28 menteri, 24 timbalan menteri sah sertai Kabinet

28 menteri, 24 timbalan menteri sah sertai Kabinet


SATU senarai 28 menteri dan 16 timbalan menteri disahkan sebagai anggota jemaah menteri pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Ramai di kalangan pemimpin tersebut kini berada di Parlimen bagi sesi taklimat untuk ahli Dewan Rakyat baharu.

Walau enggan mengesahkan senarai tersebut, seorang daripadanya, Khalid Samad berkata beliau telahpun dimaklumkan mengenainnya.

Parti Amanah merupakan antara empat parti komponen Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya umum 9 Mei.

“Ya saya ada dapat panggilan, tetapi ia masih tertakluk kepada perubahan,” katanya yang juga enggan mengesahkan jawatannya.

Satu sumber yang dekat dengan kerajaan bagaimanapun mengesahkan bahawa senarai yang kini tular di Internet adalah muktamad dan anggota Kabinet baharu itu akan mengangkat sumpah jawatan pada 2 Julai.

Senarai penuh anggota Kabinet tersebut hampir serupa dengan senarai yang disiarkan The Malaysian Insight pada 13 Jun lalu, namun terdapat perubahan atas permintaan parti.

Senarai muktamad ini tidak menyertakan pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy yang sebelum ini disebut-sebut sebagai menteri di jabatan perdana menteri untuk hal ehwal masyarakat India.

Beberapa ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dilantik ke portfolio utama, antaranya Darell Leiking sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan juga Baru Bian sebagai menteri kerja raya.

Ia turut menyenaraikan dua lagi ahli Parlimen Sabah, Liew Vui Keong sebagai menteri hal ehwal undang-undang, dan Mohamad Din Ketapi sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan warisan.

Sebahagian besar dari jemaah menteri tersebut juga dari PKR, termasuk Saifuddin Abdullah sebagai menteri luar, Saifuddin Nasution sebagai menteri perdagangan dalam negeri, dan Xavier Jayakumar di portfolio air, tanah dan sumber asli.

Turut dilantik adalah Khalid Samad dari Amanah sebagai menteri wilayah persekutuan, Teresa Kok sebagai menteri industri utama dan Mujahid Yusof Rawa di sebagai menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri.

Portfolio Kementerian Pengajian Tinggi juga didapati tidak diwujudkan dan hanya satu kementerian dipertanggungjawabkan ke atas pendidikan, diketuai Dr Maszlee Malik.

Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Yusof dari Bersatu pula akan mengetuai portfolio pembangunan usahawan yang diwujudkan semula.

Turut dilantik menjadi menteri adalah Syed Saddiq Abdul Rahman di Kementerian Belia dan Sukan dan Yeo Bee Yin yang menjadi menteri tenaga, teknologi dan alam sekitar.

Senarai 24 timbalan menteri yang dipilih, termasuk seorang senator adalah seperti berikut:
Amiruddin Hamzah, ahli Parlimen Bersatu dilantik timbalan menteri kewangan. 

Tiga lagi dari Bersatu adalah Md Farid Md Rafik (Tajung Piai) di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal perpaduan negara, Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, serta Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dua timbalan menteri Warisan adalah Azis Jamman yang dilantik ke portfolio Kementerian Dalam Negeri dan Isnaraissah Munirah Majilis di Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains dan Perubahan Iklim.

Dari DAP, enam wakilnya dilantik timbalan menteri, termasuk Hannah Yeoh (Segambut) di Kementerian Wanita, Teo Nie Ching (Kulai) di Kementerian Pendidikan dan Ong Kian Ming di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Chong Chieng Jen pula di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Raub) di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, manakala Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) di Kementerisan Belia dan Sukan.

Dari Amanah, barisan timbalan menteri adalah Mohd Hatta Ramli (Lumut) di Kementerian Pembangunan Usahawan), Annuar Tahir (Temerloh) di Kementerian Kerja Raya, Mahfuz Omar (Pokok Sena) di Kementerian Tenaga Manusia, Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) di Jabatan Perdana Menteri bagi undang-undang, dan Ahmad Termizi Ramli (Senator) untuk perumahan dan kerajaan tempatan.

Dari PKR, timbalan menteri yang dilantik adalah Dr Lee Boon Chye (Gopeng) di Kementerian Kesihatan, Fuziah Salleh (Kuantan) di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) bagi pertanian, Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak) di Kementerian Pengangkutan, Shamsul Iskandar Md Akin (Hang Tuah Jaya) di industri utama, R. Sivarasa (Sungai Buloh) di pembangunan luar bandar serta Wan Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) di pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.