Sabtu, 26 Mei 2018

Wang dirampas milik Umno: Ahmad Zahid timbulkan lebih banyak keraguan



Wang dirampas milik Umno: Ahmad Zahid timbulkan lebih banyak keraguan



Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diminta tidak perlu untuk ‘menegakkan benang basah’ atas dakwaan penemuan sejumlah RM114juta daripada 35 beg yang dirampas oleh pihak polis, semata-mata mahu mempertahankan bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila Ahmad Zahid mahu polis memulangkan wang yang didakwa milik Umno yang dirampas itu, menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap Najib.

“Permintaan  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang menuntut pihak polis memulangkan wang yang dirampas oleh pihak polis dari kondo mewah milik anak-anak Datuk Seri Najib menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap beliau.

“Alasan Zahid wang tersebut merupakan lebihan daripada sumbangan dana kempen pilihanraya umum.

“Persoalannya mengapa ia tersimpan di kediaman mewah milik anak-anak Najib dan tidak ditempatkan atau diserahkan di Ibu Pejabat Umno?

“Apakah Umno sudah menjadi milik peribadi Presiden Umno sehingga wang-wang tunai hasil derma dan sumbangan boleh ditempatkan di rumah milik anak-anak Presidennya?.

“Bagaimana pula ada banyak barangan kemas, jam berjenama mewah, beg tangan yang mahal juga turut berada bersama dengan wang tunai yang dirampas?

“Ramainya penyumbang yang memberikan beg tangan dan jam tangan untuk Umno? Apakah beliau masih mahu menyelamatkan bekas bosnya itu dan mahu menjaga maruah Umno yang begitu teruk terkoyak?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz dipercayai mengulas pendedahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman yang diketuai Pengarahnya Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini, mendedahkan, jumlah  wang tunai yang diisi di dalam 35 beg daripada 72 beg yang dirampas adalah sekitar RM114 juta dalam rampasan dilakukan di dua lokasi pada 18 Mei lalu.

Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH itu berkata Ahmad Zahid perlu membiarkan siasatan berlangsung di bawah pengawasan pihak polis dan SPRM sehingga selesai.

Ini kerana ujarnya lagi, kesemua barangan dan wang tunai yang dirampas berkait dengan siasatan rasuah terhadap Najib.

“Beliau tidak perlu membela Najib dan mempertahankan ‘kesucian’ Umno kerana rakyat sudah mengetahui sifat sebenar Umno. Lebih baik beliau fokus terhadap bagaimana memulihkan reputasi Umno yang telah jatuh merudum pada pandangan rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama Ketua Polis Negara Tan Sri  Mohd Fuzi Harun pula berkata, polis akan menyerahkan wang yang dituntut oleh pemimpin Umno itu setelah siasatan polis  dan SPRM selesai.

Katanya wang yang ditemui itu kini di simpang di Bank Negara Malaysia manakala barangan kemas dan beg tangan disimpan di Ibupejabat Polis Bukit Aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.