SEREMBAN: Seorang pembantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
membuat laporan polis, semalam, selepas menerima ugutan bunuh menerusi
Facebook (FB).
Pegawai Perhubungan Media PRU-14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Mazrin Mahmud, berkata lelaki
berusia 36 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Rembau, dekat sini,
jam 12.35 tengah hari.
Katanya, sebelum itu, mangsa yang bertugas di Pusat Penamaan Calon di
Dewan Sri Rembau, Rembau, pada 28 April lalu itu menerima pesanan
ringkas melalui WhatsApp daripada rakannya yang berkongsi paparan skrin
daripada FB memuatkan komen berbaur ugutan terhadap mangsa.
"Mangsa diugut akan dicederakan dan dibunuh selain terdapat beberapa
perkataan jelik yang ditujukan kepadanya. Berikutan itu, mangsa tampil
membuat laporan polis.
"Kami sudah merakam keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen
507 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan
di sini, hari ini.
Sementara itu, Mazrin berkata, polis negeri ini membuka lima kertas
siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sejak 30 April lalu
sehingga semalam.
"Ia membabitkan laporan perbuatan khianat merosak dan menconteng papan
tanda kempen, video pemimpin politik membuat tuduhan tidak berasas
kepada parti politik lain serta kenyataan fitnah di laman sosial,"
katanya.
Katanya, semua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun
Keseksaan, Seksyen 500 kanun sama, Akta Antiberita Tidak Benar 2018
serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagi kempen PRU-14, beliau berkata, sebanyak 139 ceramah politik dan
109 kempen diadakan sejak Sabtu lalu hingga semalam, namun tiada insiden
buruk berlaku.
Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Antiberita
Tidak Benar jika ada pihak menyebar berita tidak sahih yang boleh
mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.