KLANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan
parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan
(PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini tidak
lebih daripada hanya sebagai "pengacau undi."
Menteri Besar Selangor itu yang secara jelas merujuk kepada PAS dengan
berkata, parti itu tidak mampu membentuk kerajaan sekalipun menang
beberapa kawasan Parlimen dalam PRU14.
"Kita dalam kertas undi mudah saja, ada dua parti yang serius
sebenarnya, satu BN dan satu lagi Pakatan Harapan. Kalau ada yang lain
masuk jangan bimbang, itu pengacau sahaja, dia nak kacau sahaja,"
katanya ketika berucap pada ceramah PH di Bukit Kapar di sini, semalam.
Sementara itu, beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak
dan DUN Bukit Antarabangsa berkata, PH bersedia menghadapi pertandingan
berbilang penjuru dalam PRU14 kali ini.
Pada PRU ke-13, Mohamed Azmin menang kerusi Parlimen Gombak dengan
majoriti 4,734 undi menewaskan calon BN dan Bebas, manakala bagi kerusi
DUN Bukit Antarabangsa pula, beliau menumpaskan calon BN dengan
kelebihan 4,044 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.