Khamis, 31 Mei 2018

10% gaji ketua menteri, exco Pulau Pinang untuk Tabung Harapan

10% gaji ketua menteri, exco Pulau Pinang untuk Tabung Harapan
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemotongan itu diputuskan dan diluluskan sebulat suara semalam pada mesyuarat exco, jumlah potongan adalah RM13,526.80 setiap bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 
 
 
SEBAGAI tanda sokongan kepada tindakan kerajaan persekutuan memotong gaji perdana menteri dan menteri Kabinet, kerajaan Pulau Pinang hari ini juga mengumumkan pemotongan 10% gaji pemimpin kanan negeri itu.

Gaji ketua menteri akan dipotong sebanyak RM1,417.51 dan gaji 10 exco negeri pula dipotong sebanyak 1,210.92 setiap seorang bermula bulan depan, wang itu akan disalurkan kepada Tabung Harapan- inisiatif Kementerian Kewangan untuk mengutip derma orang awam yang berhasrat membantu Malaysia melunaskan hutang negara.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemotongan itu diputuskan dan diluluskan sebulat suara semalam pada mesyuarat exco, jumlah potongan adalah RM13,526.80 setiap bulan.

“Keputusan ini selaras dengan tindakan pemotongan gaji semua menteri kerajaan persekutuan sebanyak 10%. Potongan itu akan berkuatkuasa sehingga arahan selanjutnya diberikan.

“Kami berharap langkah ini akan membantu kerajaan persekutuan menangani hutang negara yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu Barisan Nasional,” katanya pada sidang media hari ini.

Dilaporkan hutang negara kini mencecah RM1 trilion.

Semalam, Kedah dan Johor- dua lagi negeri ditadbir Pakatan Harapan- juga mengumumkan yang gaji menteri besar dan exco dipotong 10%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.