Isnin, 2 April 2018

Warga Felda Jengka dapat durian runtuh

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MARAN: Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Felda Jengka hari ini umpama memberi 'durian runtuh' kepada warga Felda di kawasan itu apabila mengumumkan lima berita gembira bakal dinikmati mereka.
 
Antara lain, Perdana Menteri mengumumkan projek menaik taraf Hospital Jengka membabitkan peruntukan RM10 juta, sekali gus berupaya meningkatkan kadar perkhidmatan kesihatan di daerah berkenaan.
 
Najib berkata, Hospital Jengka begitu uzur dan sempit, selain tidak mampu menampung kapasiti sedia ada.
 
"Selain itu, projek naik taraf juga akan dilakukan di jalan Persekutuan fasa kedua dari Pusat Bandar Jengka ke Felda Jengka 8.
 
"Ia merangkumi laluan dari simpang Jengka 18 ke simpang Jengka 21, selain dari simpang Jengka 12 ke Jambatan Kuala Krau.
 
"Saya juga ingin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberhentikan sementara pemotongan wang tahanan peneroka Felda sehingga Aidilfitri ini," katanya disahut sorakan lebih 6,000 hadirin di majlis berkenaan, ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis ramah mesra bersama warga peneroka Felda dalam kawasan DUN Jengka, di sini, sebentar tadi.
 
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah.
 
Kehadiran Najib di perkarangan padang awam Felda Jengka 11 pada jam 12.20 tengah hari tadi dilihat mengukir senyuman warga peneroka dan generasi muda yang mula berkumpul seawal jam 10 pagi.
 
Selaras ledakan arus pembangunan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Jengka akan diwujudkan dalam usaha meningkatkan sosioekonomi penduduk dan generasi kedua Felda.
 
Beliau berkata, tekad untuk membela kebajikan dan nasib peneroka akan terus dibela, berbanding pembangkang yang hanya 'menyinggah' dengan menjanjikan bulan serta bintang, selain menyuntik kebencian dalam kalangan warga Felda.
 
"Saya datang bukan sebarang datang, justeru tuan-tuan dan puan-puan tidak akan pulang dengan tangan kosong.
 
"Warga Felda sentiasa dekat di hati saya, seperti perjuangan ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak," katanya.
 
Sementara itu, Najib berkata, hasrat pemimpin berusia 93 tahun untuk 'mengkuburkan' projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal mengundang kerugian dan merencatkan pertumbuhan negeri berkaitan.
 
Katanya, kereta api berkelajuan 150 kilometer sejam membabitkan jajaran merentasi Mentakab, Temerloh dan Kuantan itu berupaya melonjak kadar pertumbuhan tambahan Pahang sebanyak 1.5 peratus.
 
"Anak kita akan dapat pekerjaan dan limpahan ekonomi akan dibahagikan sama rata di sepanjang rangkaian laluan ECRL ini," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.