Wartawan Watan-Online
Perjuangan yang tidak mengenal erti lelah serta tidak melemahkan semangat telah menjadikan dirinya istiqamah menyokong parti akhirnya diiktiraf oleh pucuk pimpinan untuk diangkat sebagai calon Parlimen P019 Tumpat.
Pernah melalui liku dan ranjau berduri dalam perjalanan sebagai ahli UMNO Tumpat, tersisih, disisih dan dicemburi namun kekuatan pegangan pada prinsip perjuangan Alif Ba Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair) telah menyebabkannya tidak undur seinci pun.
Datuk Wan Johani Wan Husin, 65 tahun dilahirkan di Tumpat telah diberi kepercayaan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding bagi kerusi Parlimen Tumpat yang gagal dimenangi sejak 1990.
Wan Johani pernah ‘diturunkan’ sebagai calon BN buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke 11 tahun 2004 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran tetapi kalah pada calon PAS yang hanya mendapat majoriti 691 undi.
Beliau yang ditemui di Tumpat melahirkan rasa syukur dan berterima kasih pada pucuk pimpinan parti kerana dipilih untuk bertanding di parlimen Tumpat.
“Saya menaruh pengharapan yang tinggi pada pucuk pimpinan presiden parti kerana memberi kepercayaan pada saya untuk mewakili BN bertanding di kampung halaman saya,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak untuk terus bersama rakyat memberi sokongan pada semua calon-calon BN yang bertanding diempat kawasan DUN dalam parlimen Tumpat.
Wan Johani yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada beberapa menteri dan ketua menteri Sabah terasa tiada makna sekiranya tidak mendapat sokongan ahli-ahli dan jentera UMNO Tumpat.
“Siapalah saya tanpa mereka, saya mengharapkan bantuan untuk menang dan kemenangan nanti adalah kemenangan rakyat Tumpat, kemenangan rakyat Kelantan,” tambah beliau.
Menurutnya, setelah 28 tahun Kelantan ketinggalan pembangunan dan kemajuan, kini rakyat perlu membuat perubahan untuk maju.
Selaku calon yang mengharapkan kejayaan Wan Johani berhasrat untuk menjadi wakil rakyat terbaik untuk rakyat Tumpat.
Sekiranya dipilih, Wan Johani berkata, “saya harap akan mempunyai ruang dan peluang berjumpa perdana menteri bagi memberitahu bahawa rakyat Tumpat amat memerlukan kemajuan dan pembangunan terutama untuk menambah pekerjaan bagi anak muda.”
Beliau juga menyeru pada seluruh jentera parti agar rapatkan saf dan bersatu hati pada perjuangan kerana yang penting adalah parti. Kita tidak perlu taksub pada individu kerana perjuangan pada parti lebih utama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.