PETALING JAYA: Syarikat pemilik jet, VistaJet Ltd, mengesahkan
kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung
sebuah pesawatnya yang dikesan mengalami masalah teknikal dalam
pemeriksaan rutin sebelum pelepasan.
VistaJet, dalam kenyataan ringkas dikeluarkan menerusi Globe Newswire,
berkata susulan masalah teknikal itu, sebuah pesawat gantian disediakan
segera, bagi memenuhi jadual perjalanan pelanggan mereka.
Walaupun tidak menamakan pelanggan mereka dalam kenyataan itu, namun ia
jelas merujuk pesawat sepatutnya dinaiki Tun Dr Mahathir Mohamed untuk
penerbangan dari Subang ke Langkawi kelmarin.
Ketika berucap kepada penduduk di Langkawi pada malam berkenaan,
selepas tiba dengan pesawat gantian, Dr Mahathir mendakwa pesawat
sepatutnya dinaiki beliau disabotaj.
Dr Mahathir mendakwa sabotaj itu hanya sebahagian daripada usaha
menghalang beliau daripada menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Langkawi.
Pengerusi CAMM, Datuk Seri Azharuddin A Rahman, dalam satu kenyataan
semalam, menyatakan tiada sebarang unsur sabotaj dikesan terhadap
pesawat Bombardier Challenger CL60 yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir
itu, sebaliknya berpunca masalah teknikal kecil dan rutin, iaitu
kebocoran tayar sebelah kiri.
Azharuddin berkata, selepas dimaklumkan mengenai masalah berkenaan,
pihaknya membuat siasatan terperinci meliputi pengesahan dokumentasi
pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat serta temubual dengan juruterbang
dan kakitangan penyelenggaraan pesawat terbabit.
Beliau menyifatkan tuduhan sabotaj terhadap pesawat adalah sangat
serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi industri penerbangan
Malaysia dan negara secara keseluruhannya terutama ketika tempoh
sensitif seperti menjelang PRU ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.