ULASAN l Alhamdulillah hari ini hari terakhir saya di JASA. Saya tidak mengubah keputusan untuk meletak jawatan. Memang, ramai juga yang akan mengutuk saya. Saya tetap tabah.
Berakhirlah riwayat saya di JASA. Tempat panas sehinggakan DAP membawa usul ke Parlimen di sidang Parlimen terakhir awal tahun ini supaya JASA dibubarkan. Sebelum ini dalam bajet Pakatan Harapan (HARAPAN) mereka mencadangkan supaya JASA ditutup sahaja.
Kalau mahu disebut satu persatu memang banyak yang telah dilakukan sehingga JASA semakin dikenali termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan juga di kalangan pelajar Malaysia di luar negara.
Apakah saya marah dan merajuk? Itulah tuduhan oleh mereka yang tidak mengikuti sejarah saya.
PRU tahun 1999 nama saya dipotong di saat akhir kerana saya dituduh penyokong Anwar kerana pernah menjadi guru di sekolah beliau Yayasan Anda Akademi. Saya tidak lari.
PRU 2004 nama saya langsung tidak tersenarai walaupun ketika itu saya adalah Timbalan Ketua dan Setiausaha Politik Menteri Besar Johor (Tan Sri Abdul Ghani Othman). Saya juga meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik serta merta. Tetapi saya juga tidak lari.
PRU 2013 saya kalah kerana tsunami Cina. Ramai tokoh lain juga kalah tetapi mereka tetap dapat bertanding kali ini. Saya juga tidak lari.
Pada PRU 2018 ini, saya digugurkan dalam tempoh 24 jam setelah menerima panggilan dan sebelumnya ditemui oleh Tan Sri Fatmi Salleh yang mengesahkan pencalonan saya. Pengguguran saya berlaku tanpa perundingan walaupun saya adalah ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua pengarah JASA dan ketua bahagian.
Sebab itu saya berani mempersoalkan sistem memilih calon kali ini adalah ROSAK. Sebab itu apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa saya digugurkan kerana berlaku kerosakan sehingga sokongan terhadap BN merosot di Parlimen Batu Pahat maka ia meyakinkan saya sistem memilih calon Umno kali ini adalah rosak dan corrupted.
Bagaimana dikatakan berlaku kerosakan sedangkan Umno Batu Pahat berjaya menambah dan memindah pengundi hampir 7,000 orang sehingga menyebabkan Parlimen Batu Pahat menjadi top five pertambahan tertinggi pengundi Melayu di Johor.
Apakah saya akan dikenakan tindakan disiplin kerana menjawab komen TPM secara terbuka?
Kalau begitu kenapa bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang membawa usul supaya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dipecat sebagai MB tidak dikenakan tindakan dan dicalonkan semula.
Memang sistem kita rosak sehingga calon tidak bermoral dipilih. Calon yang tidak membantu parti juga terpilih.
Walaupun mempertahankan kerajaan melalui JASA seperti tidak berbaloi tetapi meletakan jawatan adalah langkah terbaik.
Terima kasih kepada seluruh staf JASA kerana bekerja sama dengan saya siang dan malam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan dedikasi.
Maafkan saya kerana memimpin JASA dengan cara yang keras dan tegas. Allah juga yang akan membalas pengorbanan anda semua. UNTIL I WIN.
*DATUK MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.