PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 1984
kertas pencalonan daripada 222 tempat penamaan calon di seluruh Parlimen
selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, sehingga tempoh
pencalonan ditutup, seorang calon telah disahkan menang tanpa bertanding
oleh pegawai Pengurus Pilihan Raya iaitu dari N27 Rantau, Mohamad Hasan
dari Barisan Nasional.
"143 parlimen akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala 29
Parlimen bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru, dan 22 Parlimen
bertanding empat penjuru serta tiga Parlimen bertanding pada lima
penjuru.
Daripada jumlah itu, Barisan Nasional mencalonkan 197 bagi kerusi Parlimen dan 445 calon bagi kerusi Dun,"katanya.
Mohd Hashim berkata PKR pula meletakkan 185 calon di kerusi Parlimen
dan 440 calon di kerusi Dun manakala Pas mencalonkan 150 calon di
peringkat Parlimen manakala 375 pencalonan diterima di peringkat Dun.
Sementara itu, sebanyak 11 kertas penamaan calon telah ditolak atas
pelbagai sebab iaitu tiga kertas pencalonan kerusi Parlimen dan lapan
kerusi Dun.
"Daripada keseluruhan pencalonan, seramai 530 calon lelaki bertanding
di peringkat parlimen dan 1244 bertanding diperingkat Dun.
Manakala 60 orang calon wanita akan bertanding di peringkat Parlimen
dan 150 orang di Peringkat Dun,"katanya ketika sidang media di Ibu
Pejabat SPR hari ini.
Sementara itu menurut Mohd Hashim, terdapat seorang calon yang menarik
diri dalam tempoh penamaan calon iaitu dari Dun N48 Skudai, K. Kanafatty
dati parti Bebas.
"Dengan selesai penamaan calon tersebut, maka bermulalah tempoh rasmi berkempen sehingga jam 11.59 malam, 8 Mei 2018,"katanya.
Beliau berkata, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, takrifan
tempoh berkempen ialah tempoh yang bermula dari pegawai Pengurus Pilihan
Raya mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan dalam
bahagian pilihan raya.
Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, bagi tujuan memantau aktiviti
berkempen sepanjang tempoh rasmi, SPR telah menubuhkan 446 Pasukan
Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di 222 Parlimen dan 505 Dun.
SPR juga melantik 1236 orang pemerhati pilihan raya dalam kalangan 14
NGO tempatan bagi memantau proses pilihan raya selain menjemput 25
pemerhati antarabangsa termasuk Azerbaijan, Maldives, Thailand,
Pakistan, Indonesia, India, Uzbekistan, Kemboja dan Kyrgyzstan.
SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi sebanyak 85 peratus dan pengumuman keputusan akan dibuat pada jam 9 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.