Jumaat, 27 April 2018

Siapa Mohamad Omar di Chempaka esok?

Al-Abror Mohd Yusuf

   

PRU14 | Menurut khabar rakan setugas di Kota Bharu, majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan malam tadi tidak berlangsung dengan lancar.

Selain cuaca tidak begitu baik, mood wartawan yang bertugas juga tidak begitu gembira.

Berbanding pengumuman calon-calon bagi gabungan lain, program yang berlangsung di Bilik Operasi DUN Kadok itu agak kelam-kabut.

Senarai calon tidak diedarkan terlebih dulu, misalnya. Justeru terpaksalah mereka mencatat satu demi satu nama yang diumumkan dari atas pentas.

Tidak cukup dengan itu, nama-nama yang diumumkan juga tidak lengkap sesetengahnya. Ia tentulah menyukarkan tugas wartawan.

Ketepatan fakta - termasuk nama - memang menjadi satu daripada syarat wajib menghasilkan berita. Namun itu yang dialami mereka.

Kemudian pengumuman itu pun berlangsung jugalah seadanya. Satu demi satu nama dipanggil.

Umum satu demi satu

Pada awalnya calon kerusi parlimen yang diumum. Kemudian calon untuk DUN pula. Maka bermula pulalah kekalutan kedua. Nama dipanggil dan calon yang disebut itu tampil berdiri bersebelahan Naib Presiden AMANAH, Husam Musa.

Memang bercelaru, dan menyukarkan.

Selepas itu berlangsung pula sesi sidang media dihadiri tiga pemimpin kanan komponen HARAPAN Kelantan. Husam duduk di tengah.

Pengerusi BERSATU Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor menjadi pengapit di kanan Husam, manakala di kirinya Ab Aziz Ab Kadir (Pengerusi PKR Kelantan).

Dan orang ramai pun terlupa - calon untuk DUN Chempaka yang diumumkan pengacara ialah Mohammad Omar.

Siapakah Mohammad yang satu itu?

Semasa namanya diseru, tiada kelibat orang yang berkenaan muncul bersalaman dengan Husam.

Memang ketika itu namanya disebut namun kelibat orang bernama Mohammad Omar tiada.



Pengacara kemudian mengumumkan nama calon bagi kerusi Panchor, iaitu Zulhazmi Hassan.

Untuk berlaku adil, pengacara memang lebih awal menjelaskan ada beberapa calon yang "masih dalam perjalanan" ke tempat acara itu berlangsung.

Kerusi Chempaka mempungai signifikan yang tersendiri. Ia adalah kawasan yang pernah diwakili Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - seorang tokoh yang disegani rakan dan lawan.

Selepas beliau meninggal dunia, PAS - bagi sesetengah orang - tidak lagi seperti parti yang mereka kenali ketika Nik Abdul Aziz ada.

Dengan meninggalnya Nik Abdul Aziz kerusi Chempaka diwakili tokoh muda Ahmad Fathan Mahmood yang menang melalui pilihan raya kecil pada 22 Mac 2015.

Ahmad Fathan tidak menang percuma. Cuma dia ditentang oleh empat calon bebas. Justeru Ahmad Fathan mendapat 10,899 undi. Jumlah majoriti yang diperolehinya pula ialah 10,872 undi.

Kali ini ia bukan lagi pilihan raya kecil. Esok akan berlangsung proses penamaan calon. Untuk kerusi Chempaka HARAPAN pernah disebut-sebut akan diwakili salah seorang anak lelaki Nik Abdul Aziz.

Buat masa ini hanya dua nama anak bekas mursyidul am PAS itu yang benar-benar menonjol dalam politik. Itu pun tidak seimbang sebenarnya.

Pertama Nik Mohamad Abduh yang sebelum ini bertanding - dan menang - di Pasir Mas. Untuk PRU ke-14 ini PAS mengirim anak kelima Nik Abdul Aziz itu untuk bertanding di Bachok.

Nama kedua ialah Nik Omar yang dilaporkan masih berdiplomasi dalam pendirian politiknya kerana tidak sejalan dengan Nik Mohamad Abduh.

Tunggu pencalonan esok

Sebagai guru agama dan anak ulama, Nik Omar dikatakan sedang berusaha mendapat restu daripada bondanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Untuk rekod kerajaan PAS akan berdepan cabaran lebih besar untuk kali pertama sejak menawan Wisma Darul Naim daripada BN pada 1990. Ketika itu PAS bergandingan dengan Parti Melayu Semangat 46.

Kali ini PAS masih bersama rakannya. Bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) serta beberapa pertubuhan lain, PAS membentuk Gagasan Sejahtera.




Di depan PAS ada BN, ada HARAPAN. PAS seperti selalu tetap yakin mampu menang besar. Malah harakahdaily semalam melaporkan, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat sebagai berkata, mereka menyasarkan 38 daripada 45 kerusi DUN boleh dimenangi kali ini.

Untuk parlimen pula PAS yakin memenangi 12 daripada 14 kerusi.

Ia bakal mencatatkan rekod cemerlang seperti pernah dicapai PAS (bersama Semangat 46) dalam PRU ke-1999.

Tinggal hanya beberapa jam saja lagi sebelum semua calon yang terpilih akan bergerak ke pusat penamaan calon bersama watikah masing-masing pagi esok.

Sementara itu calon HARAPAN untuk kerusi Chempaka masih menjadi tanda tanya. Kejutan?

Tunggulah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.