KUCHING: PKR Sarawak hari ini mengumumkan nama 15 calon yang akan
mewakili parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada masa sama, Amanah Sarawak turut mengumumkan nama enam calon yang
akan bertanding buat pertama kali pada pilihan raya umum di negeri ini.
Pengumuman nama calon daripada pakatan pembangkang PKR itu dibuat oleh
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian bersama Setiausaha Amanah Sarawak,
Abang Abdul Halil dalam sidang akhbar di sebuah hotel, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi DAP Sarawak merangkap Pengerusi pakatan pembangkang PKR Sarawak, Chong Chieng Jen.
Baru mengumumkan dirinya akan bertanding di Parlimen Selangau, iaitu
bertukar kerusi daripada Parlimen Limbang pada Pilihan Raya Ke-13
(PRU-13) yang lalu.
Menurutnya, PKR turut mengekalkan penyandang Parlimen Miri, Dr. Micheal
Teo Yu Keng iaitu satu-satunya kerusi yang dimenangi PRK pada PRU-13
yang sebelum itu merupakan kerusi BN.
Dalam pada itu, Baru berkata, pakatan pembangkang PKR tidak akan
bertanding di Parlimen Julau pada PRU-14 memandangkan kawasan itu
merupakan kubu kuat BN.
"Keputusan tidak bertanding di kawasan ini juga untuk memberi ruang
kepada calon bebas, dijangka Larry Sng (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri
Pelagus daripada BN) untuk menentang calon BN yang juga penyandang
kerusi, Datuk Joseph Salang Gandum," katanya.
Sementara itu, Abang Abdul pula mengesahkan, Amanah akan menggantikan
PKR di Parlimen Santubong pada PRU-14, selain daripada Kota Samarahan,
Batang Sadong, Batang Lupar, Tanjong Manis dan Igan.
Amanah bakal menentang calon PAS dan BN di tiga kerusi iaitu Kota Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.
Calon PKR Sarawak
Petra Jaya - Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor
Puncak Borneo - Willie Mongin
Sri Aman - Norina Utot
Lubok Antu - Nicholas Bawin
Betong - Noel Bucking
Saratok - Ali Biju
Kanowit - Satu Anchom
Mukah - Abdul Jalil Bujang
Selangau - Baru Bian
Hulu Rajang - Abun Sui Anyit
Sibuti - Jemat Panjang
Miri - Dr Michael Teo
Baram - Roland Egan
Limbang - Dr Ricardo Baba
Lawas - Danny Piri
Calon Amanah Sarawak
Santubong - Mohamad Fidzuan Zaidi
Kota Samarahan - Sopian Julaihi
Batang Sadong - Othman Mustapha
Batang Lupar - Narudin Mentali
Tanjong Manis - Mohamad Fadillah Sabali
Igan - Andri Zulkarnaen Hamdan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.