Khamis, 26 April 2018

Pembangunan ekonomi negara lebih untungkan orang kaya, kata pakar ekonomi

 
Jomo berkata, ini disebabkan angka pendapatan negara tidak mengambil kira 7 juta pekerja asing di negara ini yang kebanyakan mendapat pendapatan rendah. 


Jomo Kwame Sundaram berkata harga saham mencerminkan keyakinan pelabur tetapi bukan keadaan sebenar ekonomi. (Gambar Facebook KRI)


PETALING JAYA: Pakar ekonomi terkenal Jomo Kwame Sundaram berkata, walaupun angka rasmi menunjukkan ekonomi Malaysia pesat berkembang, tetapi angka itu juga menampakkan kekayaan negara lebih dinikmati oleh segelintir orang kaya, sedangkan orang lain hanya mendapat “tulang dan bulu”.

Ini katanya disebabkan angka-angka rasmi kerajaan tidak mengambil kira lebih kurang 7 juta pekerja asing yang terdapat di negara ini.

“Penduduk Malaysia sekarang di sekitar 32 juta dan tenaga kerjanya 15 juta orang. Menurut syarikat telefon, terdapat kira-kira 7 juta pekerja asing, tetapi angka rasmi kerajaan hanya seramai 2.2 juta orang, menyebabkan pengiraan angka pendapatan purata jauh lebih tinggi daripada sepatutnya,” kata beliau.

Jomo juga berkata, walaupun terdapat pihak yang menganggap pencapaian semasa Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik, namun baginya, ia bukanlah indikator yang tepat dan menyeluruh.

“Harga saham mencerminkan keyakinan pelabur terhadap harga saham berkenaan, bukannya kepada keadaan sebenar ekonomi, sementara kenaikan nilai mata wang kepada RM3.9 berbanding AS$1 sekarang tidaklah disebabkan kemajuan dalam pengurusan ekonomi, tetapi lebih disebabkan kenaikan harga minyak dan komoditi,” kata beliau.

Jomo berkata beliau bimbang dengan pertambahan hutang negara daripada RM306 bilion pada 2008 kepada lebih RM685 bilion sekarang, selain hutang yang dijamin kerajaan yang meningkat kepada RM227 bilion daripada RM69 bilion.

Bankrap

Jomo berkata sesebuah kerajaan tidak boleh bankrap dari segi undang-undang, tetapi masalah berlaku apabila kerajaan tidak cukup pendapatan atau simpanan untuk menjelaskan hutangnya, terutama jika ia adalah hutang luar.

“Walaupun hutang dalam negeri lebih mudah dijelaskan dengan ‘mencetak wang’ yang akan menyebabkan inflasi, tetapi tidak hutang luar negara, misalnya ketika kerajaan terlewat membayar hutang 1MDB tahun lepas,” kata beliau.

Jomo, yang pernah bertugas sebagai penolong setiausaha agung bagi pembangunan ekonomi di Bangsa-bangsa Bersatu dari 2005-2015, juga menyuarakan kebimbangannya berkaitan paras hutang isi rumah negara yang tinggi, dan kesannya ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat.
 
Menurut angka Bank Negara, hutang isi rumah pada “paras 84% daripada pendapatan negara tahunan”, paras paling tinggi di dunia,” kata beliau.

“Ini tidak termasuk hutang ‘tidak rasmi’ dengan along, saudara-mara dan sebagainya.”

Bekas profesor di Universiti Malaya itu berkata, walaupun dasar gaji minimum dan pemberian langsung BR1M adalah baik dan membantu rakyat bawahan, ia kini seolah-olah dijadikan “umpan politik” menjelang pilihan raya akan datang.

Berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kesannya ke atas ekonomi dan kualiti hidup rakyat, Jomo berkata, cukai itu mempunyai kesan regresif ke atas rakyat, terutamanya apabila banyak subsidi ditarik balik oleh kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya GST ditarik balik, seperti dijanjikan oleh pembangkang, defisit belanjawan boleh diatasi, antaranya dengan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu, seperti pembelian senjata yang tidak menyumbang secara langsung kepada pertahanan dan keselamatan negara, atau mengurangkan projek berstatus megah yang lebih menguntungkan syarikat berkenaan daripada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.