Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan yang menyatakan ekonomi negara bakal terjejas teruk sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuh.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH telah membuat kajian terperinci tentang langkah yang perlu diambil bagi mengembalikan keseimbangan ekonomi negara selepas GST dimansuh seperti yang telah dijanjikan dalam Manifesto PH sebelum ini.
“Yang penting pendekatan kita tidak akan memberi bebanan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu sidang media selepas program Kempen Rakyat Tolak GST Bersama Presiden PPBM di hadapan kompleks SOGO, Kuala Lumpur pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata PH akan mengumumkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.
“Kita akan umumkan (calon) dalam masa terdekat.
“Tidak apa mana-mana komponen yang sudah selesai untuk umumkan calon jika perlu, kita juga akan umumkan tidak lama lagi, bukanlah semua tetapi bergantung kepada mana-mana kawasan yang perlu,” ujar beliau ketika menjawab soalan mengenai tindakan DAP yang sudah mengumumkan calon parti tersebut di beberapa kawasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.