PRU14 I Ketika dimaklumkan kegagalan Tian Chua mempertahankan kerusi parlimen Batu selepas kertas pencalonannya ditolak pagi tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempamerkan rasa terkejut dan sedih dengan berita itu.
Wan Azizah berkata, beliau difahamkan sebelum ini bahawa naib presiden PKR itu merupakan seorang calon yang 'clear' atau bersih daripada sebarang tindakan mahkamah.
"Saya rasa sedih dengan kejadian ini.
"Saya masa memegang jawatan kuasa saringan (calon) Tian Chua 'clear, sebab itu (dia dicalonkan).
"Ini pertama kali saya dengar kes seperti ini," katanya yang dimaklumkan sendiri mengenai perkara itu oleh wartawan.
Menjawab soalan pemberita mengenai tindakan seterusnya, Wan Azizah berkata pihaknya buntu dan tidak dapat berbuat apa-apa.
"Sebabnya masa untuk bantahan sudah tamat. Jadi, saya tidak dapat membuat apa-apa. It is such a tragedy. Kita tak ada back-up plan. Kalau nak buat apa pun, (kita buat) sebelum jam 10 pagi ini.
"Beliau (Tian Chua) sudah kehilangan peluangnya. Beliau seorang yang pernah berkhidmat kepada rakyat dengan baik," katanya sejurus selesai penamaan calon hari ini.
Terdahulu, Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu selepas pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain membatalkan kertas pencalonannya.
Tindakan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis dan mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000.
Keadaan itu berbeza pada PRU 2013 apabila Tian dibenarkan bertanding walaupun ketika itu disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan turut dikenakan denda sebanyak RM2,000.
Berikutan itu, Tian Chua membuat laporan polis hari ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah kemudian berkata bekas anggota parlimen Batu itu boleh membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan SPR.
'Hina mahkamah, speaker Dewan Rakyat'
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau kesal dan kecewa dengan tindakan SPR yang enggan menerima pencalonan Tian Chua.
"Tindakan SPR itu tidak berasas dan mencemarkan proses demokrasi di Malaysia. Saya mengutuk sekeras-kerasnya layanan SPR terhadap saudara Tian Chua pada penamaan calon hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Azmin mendakwa tindakan SPR menghina keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2018 mengurangkan hukuman denda terhadap Tian Chua.
Manakala Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mula turut mengesahkan Tian Chua layak sebagai anggota parlimen walaupun dikenakan denda RM2,000 pada 2011.
"Ini bermakna, Tian Chua layak bertanding sebagai calon Batu dalam PRU14.
"Saya menyeru semua pihak supaya membantah tindakan SPR yang menganiaya saudara Tian Chua dengan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Pakatan Harapan," kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.