Khamis, 26 April 2018

Ibrahim Ali kekal presiden Perkasa walaupun bertanding PRU14

 
Timbalan Presiden Perkasa, Sirajuddin Salleh berkata, Ibrahim Ali akan diminta meletak jawatan atau beliau sendiri akan melepaskan jawatan jika bertanding untuk parti lain.


Sirajuddin Salleh berkata, Perkasa bersikap berkecuali dengan tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang bertanding pada PRU14.


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mengekalkan Datuk Ibrahim Ali sebagai presidennya kerana bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Pasir Mas dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Kelantan.

“Kalau dia bertanding untuk parti lain, Perkasa akan menyuruhnya meletak jawatan atau beliau sendiri akan meletakkan jawatan,” kata Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, hari ini.

Ibrahim pernah memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas pada 1986 atas tiket Umno dan 1990 atas tiket Semangat 46.

Bagaimanapun, beliau kalah di kerusi itu ketika bertanding sebagai calon bebas pada 1995, 1999 dan 2004 di kerusi tiu.

Pada 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS.

Pada 2013, Ibrahim bertanding sebagai calon bebas dan tewas kepada calon PAS, Nik Mohamad Abduh yang juga anak bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan majoriti 8,047 undi.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, selain Ibrahim, 2 lagi ahli Perkasa juga akan bertanding sebagai calon bebas di DUN Meranti dah Pengkalan Pasir.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama 2 ahli itu.

Katanya, Perkasa mahu Ibrahim memainkan peranan sebagai pejuang agama, bangsa dan tanah air dengan lebih lantang dan berkesan di Parlimen dan DUN itu.

Namun, katanya, Perkasa bersikap berkecuali dengan tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Semua pimpinan dan ahli-ahli Perkasa seluruh negara boleh membuat pilihan masing-masing ketika mengundi nanti.

“Bagaimanapun, ahli Dewan Tertinggi Perkasa menyarankan agar pilihan yang akan dilakukan ahli-ahli Perkasa pada PRU14 nanti perlulah memilih pihak yang difikirkan lebih baik dan mampu membela dan memperkasakan Islam dan Bumiputera.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.