Khamis, 26 April 2018

Hak MA63 teratas dalam manifesto BN Sabah

 
Pengerusi BN Sabah Musa Aman memberitahu 15,000 yang hadir bahawa kerajaan negeri akan pastikan Putrajaya penuhi janji memulihkan hak negeri.


Musa Aman bersama penyokong BN di pelancaran manifesto BN Sabah.


KOTA KINABALU: Hak-hak Sabah bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberi keutamaan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah untuk pilihan raya akan datang, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman malam tadi.

Musa di pelancaran manifesto “Tanah Airku Maju” berkata memelihara hak dan kepentingan Sabah dalam MA63 teratas dalam agenda BN.

“Di peringkat negeri, kita akan memastikan komitmen yang dilafazkan itu ditunaikan oleh kerajaan persekutuan.

“Kedua, menyuburkan hubungan antara agama dan kaum.

“Kita akan merancakkan agenda membasmi kemiskinan sehingga kita mencapai angka kemiskinan sifar dan membina lebih banyak rumah mampu milik,” katanya.

Hampir semua pimpinan BN sekarang dan terdahulu hadir di majlis ini, termasuk bekas ketua menteri Tan Sri Chong Kah Kiat, yang pada satu ketika bersengketa dengan Musa.

Meneruskan pembentangan manifesto 20 perkara itu, Musa berkata kerajaan negeri mahu mewujudkan peluang pekerjaan yang saksama dan meningkatkan projek pembangunan di kawasan luar bandar.

 Bekas ketua menteri Chong Kah Kiat dan Musa bersalaman di pelancaran manifesto untuk Sabah.

“Kita akan melipatgandakan komitmen untuk perlindungan alam sekitar ke arah ekonomi hijau dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui Koridor Pembangunan Sabah yang merentasi setiap daerah.

“Komitmen untuk pembangunan wanita dan kesaksamaan gender. Juga, pembangunan belia dan sukan menjadi keutamaan kita. Kita mahu melahirkan lebih ramai Rayzam Shah, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017,” katanya.

Musa menambah BN mengiktiraf industri kreatif sebagai sumber ekonomi baru dan akan berusaha memperluaskan capaian jalur lebar.

Bercakap tentang parti pembangkang di Sabah, Musa berkata mereka banyak berjanji tetapi gagal menyediakan sebarang perancangan.

“Kita ingatkan sekalian rakyat ‘do not change for the sake of change’. Kerana ubah tidak semestinya menjamin kebaikan. Ada ubah yang membawa rebah, kerana ubah ada negara menjadi abu,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.