Sabtu, 31 Mac 2018

Zahid yakin calon BN Johor tidak akan disabotaj

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin tidak akan berlaku unsur sabotaj dalam kalangan parti komponen BN terhadap calonnya di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 ) akan datang.
 
Beliau berkata keyakinan itu adalah bersandarkan kepada kepercayaan beliau terhadap Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengurus dan memimpin semua parti komponen BN negeri.
 
Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri percaya ramai pihak telah menerima baik perubahan yang akan dilakukan BN iaitu menukar dan menggantikan calon yang tidak berwibawa untuk bertanding pada PRU14.
 
“Saya yakin di bawah kepimpinan (Datuk Seri) Mohamed Khaled, perkara itu (sabotaj) tidak akan berlaku di negeri Johor,” kata beliau ketika ditanya sama ada BN yakin tiada sabotaj akan berlaku ke atas calon BN di negeri itu pada PRU14.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN Johor 2018 di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat Johor Bahru semalam.
 
Ditanya jika BN sudah memuktamadkan barisan calonnya, Ahmad Zahid berkata majoriti calon sudah dipilih.
 
Bagaimanapun, katanya BN masih melihat kepada beberapa aspek termasuk keupayaan calon, sama ada mereka boleh menang dan berintegriti.
 
“Saya merasakan semua aspek diperincikan bukan hanya soal integriti tetapi soal bagaimana calon itu sudah dikenali di kawasan yang akan diwakili dan bagaimana daya kemenangannya.
 
“Bagaimanapun, di peringkat akhir nanti, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (selaku pengerusi BN) akan memuktamadkan calon setelah membuat perundingan dan ambil kira pandangan pengerusi-pengerusi BN negeri,” kata beliau yang turut berpuas hati terhadap kesiapsiagaan BN Johor dalam menghadapi PRU14.
 
Menurutnya, BN adalah parti yang sentiasa mahukan kepelbagaian termasuk menjadikan orang muda sebagai calon mereka.
Ahmad Zahid berkata ini penting demi memastikan semua golongan masyarakat diwakili dalam BN.
 
Ketika ditanya tentang desas-desus kononnya ada calon BN mungkin bertanding di kerusi Parlimen dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri, beliau berkata perkara itu terserah kepada pengerusi BN untuk diputuskan.
 
Berhubung penerimaan mereka yang mungkin tidak dicalonkan semula pada PRU14, katanya ia adalah perkara biasa dan sebahagian daripada proses perubahan serta pembaharuan dan selama ini telah diterima dengan hati terbuka dalam BN.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.