Selasa, 27 Mac 2018

Wan Azizah cabar Najib bentang laporan audit 1MDB

Wan Azizah


KEADILAN DAILY



Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk membentangkan laporan audit skandal 1MDB yang sudah dirahsiakan selama dua tahun.

Presiden Pakatan Harapan merangkap ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata pembentangan itu boleh membantu Najib untuk membersihkan nama beliau dan pentadbiran kerajaan.

“Saya mohon ketua audit negara mengklasifikasikan laporan audit 1MDB sebagai dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 disemak semula.

“Jika benar perdana menteri tidak terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan skandal 1MDB, saya mencabar kerajaan bentangkan laporan audit 1MDB itu sebelum 5 April 2018.

“Benarkan Parlimen membahaskannya sekalipun hingga ke lewat malam hari terahir sidang Parlimen yang berlangsung sekarang.

“Terserahlah kepada rakyat membuat penilaian dan menerima hakikat dan kebenaran,” katanya sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2017) 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib pada 23 Mac lalu dilaporkan berkata bahawa laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB membuat kesimpulan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Menurutnya, tidak terdapat dalam laporan 106 muka surat PAC itu yang menyatakan beliau mencuri wang daripada syarikat tersebut.

Mengulas perkara ini, Dr Wan Azizah berkata ia menimbulkan persoalan sama ada laporan itu ada menyebut tentang siasatan yang menuduh jika Najib mencuri daripada 1MDB.

“Mantan ketua audit negara mengklasifikasikan laporan audit 1MDB itu sebagai dokumen rahsia sejak Januari 2016. Ia masih kekal sehingga hari ini.

“Tidak ada keterangan menunjukkan bahawa kerajaan telah menarik balik pengklasifikasiannya sebagai dokumen rahsia rasmi.

“Saya ingin tanya sejak bilakah laporan PAC yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi itu sudah tidak lagi rahsia sehinggakan YAB Pekan (Najib) boleh memetik laporan tersebut?” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.