Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Amanah Selangor menafikan dakwaan bahawa parti komponen di
dalam Pakatan Harapan (PH) telah mempengaruhi Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu sekatan dana terhadap 13 ADUN
PAS.
ADUN Morib Hasnul Baharuddin berkata, Azmin sudah cukup bijak dan
berpengalaman untuk membuat sesuatu keputusan tanpa perlu dipengaruhi
sesiapa.
"YB Azmin cukup matang, berpengalaman dan bijak untuk membuat keputusan.
"Itu bidang kuasanya (Azmin), pada hematnya, tanggungjawabnya.
"Tiada siapa boleh pengaruhinya, selama ini pun apa-apa sahaja
keputusan beliau yang buat sendiri, maksudnya dengan kebijaksanaannya
sesuatu keputusan dibuat mengikut pada pandangannya," katanya kepada
Antarapos.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi ketika dihubungi
Antarapos hari ini yakin bahawa wujud tekanan daripada rakan komponen
dalam PH kepada Azmin dalam tindakannya yang masih membekukan dana
kepada 13 ADUN PAS di negeri itu.
Ujar Sallehen, walaupun PH pusat mendakwa mereka tidak mencampuri
urusan pentadbiran negeri Selangor, namun Sallehen percaya ada dalam
kalangan ADUN atau parti di Selangor termasuk PBBM, Amanah dan DAP yang
mendesak Azmin agar dana tersebut disekat.
Walau bagaimanapun Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin
Abdullah, membidas Sallehen yang cuba mengaitkan PH dalam isu sekatan
dana ke atas ADUN PAS di Selangor.
Menurutnya, PH pusat langsung tiada kena mengena dengan masalah
berkenaan, memandangkan ia adalah di bawah urusan pentadbiran kerajaan
negeri Selangor.
PAS tak layak
Mengulas lanjut Hasnul berkata, sekatan dana terhadap 13 ADUN PAS itu adalah wajar pada ketika ini.
Katanya, tindakan PAS yang mahu memutuskan tahaluf siyasi bersama DAP
dan PKR cukup untuk membuatkan parti itu tidak lagi layak berada dalam
urusan pentadbiran di negeri Selangor yang kini di bawah pimpinan PKR.
"Dalam isu PAS dalam kerajaan negeri Selangor umpama duri dalam daging,
jadi sudah putus hubungan dengan PKR dan DAP, keluar sahaja, apa lagi
tunggu?, itu sahaja.
"Mandat?, sekarang ini yang mengundi pada hari itu (PRU13) ahli PAS
sahaja ke? Saya juga dulu menang pada tiket PAS dengan sokongan semua
kaum, saya dulu ADUN PAS, menang dengan sokongan semua kaum tapi dengan
perbuatan PAS sekarang, kaum lain ramai yang sudah tidak bersetuju
dengan PAS.
"Mungkin sebelum ini dia (Azmin) bertolak-ansur atas sebab-sebab
tertentu, tetapi dalam keadaan sekarang ini PAS sudah tiada kerjasama
dengan PKR, DAP dan Amanah, jadi kalau Datuk Azmin buat begitu memang
sangat wajar," ujarnya lagi.
Isu peruntukan dana terhadap 13 ADUN PAS masih gagal diselesaikan
apabila kesemua wakil rakyat parti itu belum mendapat sebarang dana
meskipun sudah memasuki bulan ketiga (Mac) untuk 2018.
Malah, kesemua ADUN parti itu terpaksa menggunakan wang peribadi untuk menjalankan program bersama rakyat pada ketika ini.
Azmin sebelum ini menafikan dana itu disekat namun mengalami masalah teknikal.
PAS Selangor kemudiannya menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Azmin
bagi menyelesaikan isu tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum
balas sehingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.